Berita

Dhabitah Sabri layak ke final Olimpik

- Diterbit 8 Ogos 2024 6:10 PM MYT

RATU terjun negara, Nur Dhabitah Sabri meneruskan aksi cemerlang pada peringkat separuh akhir hari ini selepas berjaya mengesahkan tiket ke peringkat akhir acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita Sukan Olimpik Paris 2024.

Atlet berusia 25 tahun itu menamatkan saingan di tempat kelapan pada aksi separuh akhir di Pusat Akuatik Saint-Dennis, Paris sebentar tadi dengan kutipan 286.95 mata.

Pada terjunan pertama, Dhabitah menduduki tangga kedua dengan mengumpul 67.50 mata. Begitu pun, dua terjunan seterusnya menyaksikan sedikit penurunan dengan masing-masing 55.50 dan 46.50 mata, meletakkan penerjun wanita negara itu di tangga ke-12 selepas terjunan ketiga.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu kemudian bangkit di terjunan keempat dengan mengumpul 57.00 mata pada darjah kesukaran 3.0, membaiki kedudukan ke tangga ke-10. Pada terjunan terakhir pula, Dhabitah mengumpul 60.45 mata.

Sukan Olimpik Paris 2024 merupakan penampilan ketiga Nur Dhabitah selepas Tokyo 2020 dan Rio 2016. Pada penampilan di Olimpik Tokyo 2020, dia menamatkan saingan di tempat keempat pada aksi final selepas mengutip 326.15 mata.

Pusingan akhir acara 3m papan anjal wanita akan berlangsung pada esok (Jumaat) pada pukul 9 malam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas