Berita

DESAMALL@kplb catat jumlah jualan lebih RM4.03 juta sejak diperkenal pada 2017

DesaMall@KPLB meningkatkan hasil jualan usahawan luar bandar sehingga 30 peratus. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 7 Jun 2022 6:43 AM MYT

DesaMall@KPLB, iaitu inisiatif Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi usahawan luar bandar memasarkan produk secara dalam talian, mencatatkan nilai jualan lebih RM 4.03 juta setakat April lepas, sejak ia diperkenal pada Oktober 2017.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata kesemua nilai jualan itu adalah menerusi 3,567 produk dipasarkan di platform e-dagang seperti Lazada, Shopee dan eBay, melibatkan 27,424 unit penyimpanan stok (SKU).

“Setakat April lepas, sebanyak 3,000 usahawan luar bandar telah dilatih di bawah program DesaMall@KPLB untuk memasarkan produk mereka menerusi platform e-dagang.

“Pemasaran produk secara dalam talian melalui platform DesaMall@KPLB meningkatkan hasil jualan usahawan luar bandar sehingga 30 peratus,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Pendigitalan Usahawan Luar Bandar di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengalakkan lebih ramai usahawan luar bandar untuk menyertai inisiatif DesaMall@KPLB kerana ia dapat membantu mereka menambah baik mutu dan kualiti produk untuk kesediaan berniaga dalam talian.

“Kriteria untuk menyertai program ini tidak ketat, kita beri keutamaan kepada usahawan luar bandar yang mempunyai perniagaan dan produk sendiri. Sekurang-kurangnya telah berniaga enam bulan dan mempunyai produk untuk dipasarkan,” katanya.

Sementara itu, Che Murad Sayang berkata program Pendigitalan Usahawan Luar Bandar hari ini dilaksanakan bagi membantu usahawan luar bandar meningkatkan produktiviti dan kecekapan untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian.

“Usahawan hadir dapat memperluaskan penggunaan digital dalam pengurusan perniagaan merangkumi penyediaan kunci kira-kira, pengurusan stok di gudang dan kedai serta kemahiran lain.

“Ini kerana mereka akan diberi pendedahan dalam empat modul iaitu perakauan dan kewangan, point of sales system, eWallet dan kesalinghubungan yang dikendalikan oleh rakan-rakan strategik KPLB terpilih,” katanya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas