Berita

“Demi Cabang Setiawangsa, kemenangan ini adalah amanah, “-Afdlin Shauki

- Diterbit 20 April 2025 12:45 PM MYT

“DEMI Cabang Setiawangsa, kemenangan ini adalah amanah.” Itu reaksi awal Datuk Afdlin Shauki Aksan selepas diumumkan sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa yang baharu, menewaskan penyandang, Main Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam pemilihan parti 2025.

Afdlin memperoleh 631 undi, menewaskan Nik Nazmi yang juga Menteri Summer Asli dan Kelestarian Alam yang mengutip 563 undi, sekali gus membawa lembaran baharu dalam landskap politik cabang berkenaan.

Menurut Afdlin, kemenangan tersebut bukan miliknya secara peribadi, sebaliknya hasil kerja keras jentera kempen yang bergerak dalam semangat satu pasukan demi memperkukuh perjuangan reformasi.

“Kemenangan ini bukan sorakan gembira, tetapi amanah besar yang menuntut keikhlasan dan kerja keras. Ia isyarat jelas bahawa ahli mahukan nafas baharu dalam kepimpinan tempatan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Nik Nazmi atas segala jasa dan mengajak semua penyokong penyandang untuk kembali bersatu demi memantapkan cabang.

“Selepas pemilihan, tiada lagi puak atau kem. Yang ada hanyalah satu matlamat – mengukuhkan parti dan membela rakyat. Kita akan terus menyokong YB Nik dalam tugas beliau sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, Afdlin menolak fitnah yang cuba dikaitkan terhadapnya, khususnya isu projek DBKL, sambil menegaskan ahli telah membuat pilihan berdasarkan rekod khidmat dan keikhlasan.

“Ahli lebih matang. Mereka tidak terpengaruh dengan persepsi murahan. Saya lahir daripada masyarakat, saya tetap bersama rakyat,” katanya.

Afdlin menzahirkan komitmen untuk mengangkat Cabang Setiawangsa sebagai contoh politik berteraskan nilai, aktivisme dan perpaduan melalui pendekatan “Mesra Setiawangsa”.

“Ini permulaan kebangkitan. Kita akan terus bergerak, menyatu hati dan bekerja untuk masa depan bersama,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas