DEKLARASI Kuala Lumpur (KL) 2045 merupakan simbol iltizam dan komitmen kukuh negara-negara ASEAN untuk membina masa depan rantau yang lebih bersatu, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat. Inisiatif diterajui Malaysia ini menggariskan arah tuju strategik ASEAN dalam menghadapi cabaran masa depan, termasuk transformasi digital, pembangunan ekonomi hijau dan biru, serta pemerkasaan modal insan.
Bagi mengupas lebih lanjut topik ini, wartawan Wilayahku, AINI MAWAWI menemu bual Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya, COLLINS CHONG YEW KEAT.

Apakah fokus utama Pemeteraian Deklarasi KL?
Deklarasi KL 2.0 ini lebih berfokus kepada cabaran dan ancaman bukan konvensional seperti impak perubahan iklim, kerjasama ekonomi, pemerkasaan hubungan sosiobudaya dan people to people relations, pembangunan sektor teknologi dan ekonomi berlandaskan masa depan termasuk ekonomi digital, ekonomi hijau, energy transition dan kelestarian dan kesaksamaan.
Kesemua ini menjadi teras yang dilihat dapat meraih sokongan dan penglibatan menyeluruh kesemua anggota ASEAN dan dijadikan sebagai medan pemupukan kepercayaan dan perpaduan dan solidariti serantau.
Ini selari dengan pendirian Malaysia untuk merapatkan jurang pembangunan, mengatasi kemelut perpecahan dalaman, memacu integrasi serantau dan pelaburan selain perdagangan dalaman ASEAN.
Ia juga mengangkat darjat ASEAN sebagai kuasa besar baharu global secara bersepakat terhadap potensi ekonomi dan kuasa langsung dalam memainkan peranan lebih mendalam mengenai isu dan konflik global termasuk perang tarif, konflik Asia Barat dan kepincangan cabaran perubahan geopolitik baharu.
Bagaimana ia bakal menetapkan hala tuju masa hadapan blok serantau dalam aspek tadbir urus, transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik?
Rencana 20 tahun menjadi ruang platform yang sukar untuk ditentukan realiti cabaran yang akan dihadapi, walaupun persediaan rapi dan komprehensif dicanang dan termaktub dalam deklarasi ini yang dilihat merangkumi hampir semua aspek pembangunan dan faktor perubahan masa depan.
Dalam sektor transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik, semua ini akan menyaksikan perubahan pantas yang akan menjadikan rencana yang dirancang sekarang mungkin akan menjadi tidak relevan dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, bahkan dalam masa 20 tahun.
Jadi, tindakan untuk mengadakan strategic plan review dalam setiap tempoh masa yang telah dikenal pasti menjadi dorongan dan platform penting untuk mengekalkan momentum dan kesungguhan bersama dalam terus mendepani perubahan dan ancaman baharu.
Bagaimana pula cara marketing Deklarasi KL dalam menonjolkan Malaysia sebagai sebuah negara membangun yang mempunyai suara di pentas ASEAN sekali gus dunia?
Sememangnya Malaysia menjadi negara pengasas ASEAN dan telah terus memainkan peranan paling utama dalam mengetuai hasrat dan tindakan untuk melonjak kepentingan ASEAN, dan memastikan ia tidak ditelan arus perubahan pantas dinamika global dan juga pentingnya untuk memastikan sandaran dan sokongan dan kesepaduan menyeluruh dan konsisten oleh setiap anggota ASEAN. Justeru, Malaysia perlu dilihat sebagai pelopor dan penggerak kepada usaha untuk memartabatkan ASEAN dengan cerminan kejayaan Malaysia itu sendiri dalam lakaran wadah baharu kuasa ekonomi dan geopolitik sebagai emerging middle power yang boleh bertindak sebagai pengaruh baharu di arena persaingan kuasa dan ekonomi serantau dan dunia.
Bagaimana ia bakal menetapkan hala tuju masa hadapan blok serantau dalam aspek tadbir urus, transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik?
Hala tuju akan direncana mengikut acuan dan hasrat yang seiring dengan pendirian dan pendekatan Malaysia untuk meningkatkan kesaksamaan dan keterangkuman, dan menangani jurang pembangunan dan juga jurang impak dalam faktor kesan positif langsung kepada masyarakat ASEAN.
Deklarasi KL menggambarkan tekad negara-negara ASEAN untuk membentuk satu komuniti serantau yang berdaulat, aman dan berkecuali, dengan menolak sebarang bentuk campur tangan asing dan menekankan pentingnya kerjasama dalam mencapai kestabilan dan kemakmuran bersama. Apa pandangan?
Pendekatan lama ini tidak lagi relevan, dan persaingan dan bentuk kuasa baharu akan menuntut percaturan baharu yang mementingkan kepentingan untuk mendapatkan jaminan keselamatan dan cegah rintang berkesan untuk menghindari konflik.
Pendekatan sempit yang digunakan sekarang adalah berkisar kepada sandaran diplomasi, dialog dan penggunaan mekanisme seperti TAC untuk mencegah konflik, dan juga sandaran kepada goodwill restraint by Beijing, tapi kesemua ini jelas gagal untuk mencapai sasarannya. Konflik dan risiko masih tinggi, dan aktiviti yang melanggar norma dan undang-undang antarabangsa di Laut China Selatan masih menjadi ancaman besar kepada rantau.
Adakah ia juga harus bergerak melangkaui retorik kepada tindakan sebenar dalam isu-isu penting berorientasikan masa hadapan?
Sememangnya, Deklarasi KL perlu lebih berani untuk bebas daripada norma dan pendekatan konvensional, dan terus mengorak langkah untuk mencorak masa depan dan jaminan baharu ASEAN dengan tidak lagi berpaksikan kepada model centrality dan neutrality ASEAN, dan bertindak untuk mendapatkan jaminan keselamatan ekonomi dan ketenteraan baharu yang boleh menjamin masa depan rantau ini.
Potensi ekonomi China tidak akan terjamin dari segi kelestarian tawaran pasaran dan teknologi, disebabkan kemelut ekonomi dalamannya sendiri, dan kuasa Washington dilihat akan kekal lestari, di mana Washington kekal meraih pulangan net power advantage terhadap Beijing.
Beijing yang kini berada dalam peak power capacity, akan lebih tertekan untuk meraih objektifnya di Taiwan dan untuk menghalang kuasa Washington sekarang yang masih dalam fasa pemulihan, sebelum Washington mendapat status kuasa dominan dan jurang kuasa yang paling tinggi selepas hujung dekad ini.
Maka, risiko untuk Beijing bertindak dahulu pada dekad ini adalah tinggi, dan risiko konflik kekal tinggi. Maka, ASEAN perlu pantas bertindak untuk mendapatkan jaminan keselamatan baharu dengan kuasa selain sistem alternatif, dan hanya Washington mempunyai julat dan sokongan kuasa itu sekarang.
Apakah perbandingan serta penambahbaikan Deklarasi KL yang pernah ditandatangani sebelum ini?
Deklarasi kali ini dilihat tidak banyak perubahan dari segi fundamental strength, tapi banyak perubahan dan pengubahsuaian mengikut perkembangan terkini dan juga sandaran dan tuntutan masa depan yang berlainan dengan dekad sebelum ini.
Ini termasuk sektor digital baharu dan struktur ekonomi yang berlainan, dan keperluan untuk memperkasa keyakinan, kepercayaan dan keterangkuman baharu rantau ini. – WILAYAHKU