Fokus

Dedah ilmu pengetahuan baharu kepada masyarakat

- Diterbit 19 Oktober 2023 5:20 PM MYT

Oleh HAZIRAH HALIM
Foto AMIN FARIJ

PROGRAM Hari Tongkat Putih amat signifikan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan apabila tongkat putih dijadikan sebagai simbolik kepada alat kebebasan untuk golongan berkenaan.

Melalui program ini juga, masyarakat dapat menambah pengetahuan terhadap penggunaan tongkat putih kepada golongan tersebut di mana ia turut dijadikan sebagai alat isyarat kepada orang ramai.

Salah seorang peserta Pertubuhan Orang Cacat Pengelihatan Malaysia SBM, Nurfarahin Norzaini berkata melalui program ini, orang awam akan lebih memahami di samping mengetahui fungsi sebenar tongkat putih itu kepada golongan berkenaan.

NURFARAHIN

“Hari ini (15 Oktober), kami berarak mengelilingi tasik sejauh 2.3 kilometer (km) di mana ia adalah salah satu cara yang digunakan untuk memperlihatkan kepada umum tentang fungsi dan bagaimana cara OKU penglihatan ini berjalan menggunakan tongkat putih.

“Dengan cara ini, saya percaya bila masyarakat nampak mereka akan lebih prihatin dan memahami maksud fungsi tongkat putih itu kepada kami.

“Mereka juga boleh menambah pengetahuan bahawa tongkat putih ini merupakan signifikan kepada golongan OKU penglihatan dan mereka mengetahui bahawa ada segelintir OKU menggunakan tongkat putih ini sebagai pemandu arah ketika hendak melintas jalan,” katanya yang juga merupakan seorang OKU penglihatan.

Berkongsi pandangan tentang program, Nurfarahin berkata ia merupakan hari istimewa buat mereka dan berharap ia akan terus dilaksanakan pada tahun berikutnya.

Sementara itu, salah seorang peserta dari Pahang, Zalila Kassim atau lebih mesra disapa Kak Zack berasa teruja apabila dapat menyertai program ini dan berharap ia akan menjadi sebuah program yang bermanfaat bukan sahaja kepada masyarakat, sukarelawan dan juga pihak yang terlibat.

“Perasaan sangat seronok, walaupun penat pusing satu tasik ini tapi saya dapat lihat pemandangan, beramah mesra dengan kawan-kawan baru dan saya harap ia akan diteruskan pada masa hadapan,” katanya yang ingin turut serta pada masa akan datang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas