PENYANYI dan pelakon, Naim Daniel mengaku terkilan apabila terdapat pengguna akaun media sosial yang menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya.
Pengguna akaun Instagram @syxmzxk itu menulis ‘ini kalau jumpa mak pak hang (kau), aku sembelih hidup-hidup.’
Menerusi Instagramnya, Naim atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir warga maya yang tidak menyelidik terlebih dulu sedangkan namanya tidak tersenarai dalam gerakan Blockout atau boikot.
“Jika ini adalah sebahagian daripada cara untuk #blockout2024 maka terangkan kepada saya, apakah dihalalkan untuk mengugut, menghina, memfitnah, mencaci maki tanpa usul periksa atas nama boikot?,” katanya.
Menurut Naim, dia membesar dalam keluarga yang penyayang, menerapkan nilai-nilai Islam dan empati sesama manusia, hubungan sesama alam juga manusia.
“Saya dididik penuh hikmah dan sopan oleh kedua orang tua saya yang juga beragama Islam. Saya tidak pernah menidakkan kesengsaraan mahupun kezaliman saudara mara sedarah seagama di sana.
“Hanya kerana saya berpesan supaya jangan melampau dalam memboikot, sehingga perlu menghina perkara yang tidak ada kena mengena dengan perkara yang diboikotkan, saya berpesan supaya tidak bersifat Ghuluw atau melampau sehingga mampu mewujudkan cabang dosa dalam masa kita cuba melakukan sesuatu atas nama kebaikan;
“Saya dikatakan ‘terpaling’. Malah siap ada mereka mereka yang menyalah erti dan menggunakan naratif yang berbeza bagi menentang saya,” ujarnya.
Pada Instagram Stories pula, Naim turut berkongsi imej berada di Balai Polis Semenyih, awal pagi, hari ini, bagi membuat laporan berhubung ugutan bunuh terhadap ibu bapanya.
Terdahulu, Kempen Blockout2024 yang bermula selepas Met Gala di New York berakhir 6 Mei lalu menyasarkan selebriti global yang dilihat berdiam diri dalam isu Palestin serta menjalinkan kerjasama dengan jenama menyokong Zionis.
Sejak kempen itu digerakkan, pengguna media sosial menyah ikut malah menyekat beberapa nama selebriti yang tersenarai sebagai salah satu tindakan memboikot.
Kempen yang menular di Malaysia itu turut mengakibatkan beberapa nama selebriti tempatan terpalit dengan isu terbabit antaranya Nabila Razali, Nadhir Nasar, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan Daiyan Trisha, Mira Filzah dan ramai lagi. – WILAYAHKU
Instagram will load in the frontend.==