Berita

DBKL, UTM manfaat penggunaan biodiesel daripada minyak masak terpakai

MAHADI (lima kiri) mendengar taklimat ringkas penggunaan dan penghasilan biodiesel oleh pihak UTM di Dataran DBKL pada Ahad.
- Diterbit 24 Mac 2023 4:30 AM MYT

DALAM merealisasikan matlamat Kuala Lumpur ke Arah Bandar Raya Rendah Karbon 2050, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melancarkan penggunaan minyak biodiesel daripada minyak masak terpakai bagi kegunaan pada kenderaan dan peralatan DBKL.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, penghasilan biodiesel daripada sisa minyak terpakai merupakan alternatif bagi menggantikan bahan api berasaskan petroleum untuk kegunaan pengangkutan serta ia juga merupakan bahan bakar
berpotensi bagi kegunaan kenderaan diesel di Malaysia.

“Minyak masak terpakai yang digunakan bagi penghasilan biodiesel ini adalah bahan kitar semula yang diperoleh melalui pelaksanaan Program 1 Komuniti 1 Kitar Semula (1 Community 1 Recycle – 1C1R) yang sedang giat dilaksanakan di seluruh Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam di bawah seliaan DBKL.

“Berdasarkan penyelidikan, lebih kurang tiga bilion liter minyak masak digunakan dalam tempoh setahun di Malaysia dan 30 peratus pemulihan sisa minyak masak untuk penghasilan biodiesel ini berpotensi memenuhi 10 peratus jumlah permintaan diesel.

“Ini adalah antara usaha penjimatan dan mengelakkan pembaziran serta pembuangan sisa minyak masak secara tidak berhemah. Kalau tiada inisiatif ini, minyak masak tersebut akan dibuang begitu sahaja sehingga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar seperti longkang tersumbat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif tersebut di Dataran DBKL, pada Ahad.

Tambahnya, usaha ini juga secara tidak langsung akan memberi impak kepada kualiti udara alam sekitar.

Mengulas lanjut, Mahadi berkata penghasilan biodiesel ini melibatkan kerjasama dengan UTM dan hasil keberkesanan serta kesesuaian penggunaannya sebagai bahan api kenderaan telah diuji melalui analisa makmal daripada tiga piawaian.

“Ia diuji berdasarkan Persatuan Pengujian dan Bahan Amerika (ASTM), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta Malaysian Standard Biodiesel Specification.

“Kita masih lagi di peringkat percubaan jadi buat sementara waktu ini kita uji pada kenderaan dan peralatan-peralatan DBKL seperti genset dan mesin fogging,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas