Berita

DBKL tutup serta-merta dua pusat hiburan di ibu kota

KOMPUTER riba antara peralatan yang disita DBKL ketika serbuan baru-baru ini. Kredit foto: DBKL
- Diterbit 17 November 2023 12:35 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Penguatkuasaan bertindak menutup serta-merta dua buah pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur yang menjalankan aktiviti hiburan tanpa kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa.

Menerusi Operasi Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Hiburan) yang dilaksanakan baru-baru ini, dua premis berkenaan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17 Akta Hiburan 1992 selain DBKL turut membuka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan (live muzik/DJ) tanpa kebenaran.

“Operasi ini melibatkan 12 premis perniagaan restoran dan pub di sekitar kawasan Kuala Lumpur antaranya Jalan Ampang, Jalan Dang Wangi, Jalan Pudu Ulu, Jalan Tun Razak dan Setapak yang bermula pada pukul 9 malam dan berakhir pukul 2.30 pagi.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan tersebut, pelbagai peralatan dan barangan terdiri daripada mixer sound, digital mixing console, speaker, monitor, komputer riba dan lain-lain disita dan dihantar ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara,” jelas DBKL menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.

Pada operasi tersebut juga, DBKL memaklumkan enam notis kompaun turut dikeluarkan atas beberapa kesalahan.

“Ia terdiri daripada tiga notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 (­melantik pembantu tanpa kebenaran), dua notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta satu notis kompaun Undang-Undang Kecil Iklan (WPKL 1982) berikutan mempamer iklan tanpa lesen,” katanya.

Dalam pada itu, DBKL berkata tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa terutama di lokasi tumpuan yang lain di sekitar Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas