Berita

DBKL tutup 4 premis dikendalikan warga asing

- Diterbit 27 September 2024 3:15 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan tindakan tutup serta merta terhadap empat premis yang dikendalikan warga asing tanpa lesen perniagaan yang sah.

DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Pejabat Cawangan Segambut menjalankan tindakan khas terhadap penjaja warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di sekitar Jalan Segambut Dalam pada 25 September.

Menurut DBKL, sebanyak empat premis yang dikendalikan oleh warga asing tanpa lesen perniagaan yang sah telah dikenakan tindakan tutup serta merta dan segala barangan yang melibatkan perniagaan telah dikenakan tindakan sita di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Manakala 11 notis kompaun kesalahan telah dikeluarkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan UUK Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016.

“Kesemua barangan yang diambil tindakan telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

DBKL menegaskan akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.

“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas