Berita

DBKL terima lawatan delegasi TMG

SHAHIDAN (tengah) bergambar kenangan bersama delegasi Tokyo Metropolitan Government selepas sesi kunjung hormat pada Selasa.
- Diterbit 9 Julai 2022 12:00 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima lawatan kerja daripada delegasi Tokyo Metropolitan Government (TMG) bagi berkongsi langkah melaksanakan Pelan Tindakan Mitigasi Banjir.

DBKL dalam kenyataannya berkata lawatan selama dua hari pada 5 dan 6 Julai lalu adalah bagi membalas lawatan pihak Kuala Lumpur yang melawat Tokyo baru-baru ini.

“Ia juga sebagai satu medium untuk kedua–dua bandar raya menyumbang idea menangani banjir di Kuala Lumpur yang keadaannya sama seperti di Tokyo iaitu disebabkan oleh hujan lebat dalam tempoh singkat sehingga merosakkan banyak harta benda awam,” ujarnya.

Penasihat Khas Teknikal Gabenor Tokyo, Nakajima Takashi menandatangani buku pelawat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sambil disaksikan Shahidan (berdiri).

Terdahulu, lawatan tersebut melibatkan seramai 12 orang yang diketuai oleh Penasihat Khas kepada Gabenor Jepun dalam bidang teknikal dari TMG, Nakajima Takashi.

Lawatan kerja dua hari tersebut diisi dengan beberapa program yang turut disertai Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

“Ia meliputi lawatan ke SMART Control Centre, Kolam Takungan Banjir Taman Botani, Empangan Batu, sesi perkongsian ilmu daripada pegawai Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL serta turut diadakan Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah,” ujar kenyataan itu.

DBKL turut menzahirkan ucapan terima kasih di atas lawatan kerja delegasi TMG ke Kuala Lumpur dan diharapkan ia memberi impak positif dalam menangani banjir di Kuala Lumpur.

“Terima kasih diucapkan kepada delegasi TMG yang berpeluang mengadakan lawatan kerja ke Kuala Lumpur dan kami sangat menghargai segala pandangan serta nasihat yang telah diberikan sepanjang sesi perkongsian ilmu selama dua hari ini.

“Diharapkan semoga lawatan kerja ini dapat membuahkan hasil positif kepada DBKL dalam menangani masalah banjir di Kuala Lumpur seterusnya dapat memberi keselesaan kepada warga kota,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas