DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menerima 28 permohonan daripada pihak pemaju melibatkan pembangunan semula perumahan lama di ibu negara, bagi tempoh sehingga 31 Januari lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, menerusi pembangunan semula ini, kerajaan bukan sahaja menyediakan rumah gantian kepada penduduk, tetapi akan melibatkan tambahan kepada pembangunan rumah mampu milik sedia ada di Wilayah Persekutuan.
“Di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) yang telah diwartakan pada 19 Oktober 2023 dan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (DPTKL 2040), sebanyak 139 tapak dengan keluasan 1228.96 hektar (3,036.81 ekar) telah dikenal pasti sebagai kawasan yang berpotensi untuk pembangunan semula,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai langkah kerajaan merancakkan pembangunan perumahan mampu milik di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Zaliha memberitahu, menerusi Garis Panduan Perancangan Residensi MADANI khususnya di Kuala Lumpur yang telah berkuat kuasa pada Mei 2024, telah menetapkan iaitu bagi keluasan tanah melebihi lima ekar, pemaju perumahan dikehendaki menyediakan sekurang-kurangnya minimum 20 peratus pembangunan Residensi MADANI.
“Sekiranya kerajaan berpandangan tiada permintaan Residensi MADANI di kawasan tersebut, atau pihak pemaju tidak dapat menyediakan komponen Residensi MADANI, Garis Panduan ini adalah bersifat fleksibel.
“Untuk itu pihak pemaju perumahan perlu menyediakan atau membangunkan kemudahan masyarakat secara in-kind berdasarkan nilaian yang sama kepada bilangan unit Residensi MADANI yang perlu disediakan sebagaimana yang ditetapkan dalam Perintah Pembangunan,” katanya.
Terdahulu beliau berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sentiasa komited dalam memastikan bekalan rumah mampu milik di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan sentiasa mencukupi.
Oleh itu katanya, JWP menyasarkan pembinaan sebanyak 80,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun mulai 2018 hingga 2028 menerusi Program Residensi Wilayah dan Residensi MADANI.
“Sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 72,864 unit melibatkan 101 projek perumahan mampu milik di Wilayah Persekutuan merangkumi projek yang telah siap, dalam pembinaan dan telah mendapat Perintah Pembangunan atau Development Order (DO) telah disediakan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Ini termasuklah 5,015 unit Residensi Putrajaya terdiri daripada Residensi MADANI dan Residensi Wilayah yang telah diluncurkan Perdana Menteri pada 28 Oktober 2024 di Putrajaya. Residensi MADANI dan Residensi Wilayah ini dijangka siap dibina pada tahun 2027 hingga 2028.
“Berdasarkan data tersebut, suka untuk saya maklumkan bahawa kita telah berjaya mencapai 91 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dalam menyediakan rumah mampu milik khususnya bagi warga di Wilayah Persekutuan bagi tempoh 10 tahun,” katanya.
Jelas beliau, baki lebih kurang 7,000 unit lagi akan dapat dicapai dalam tempoh berbaki tiga tahun lagi.
Katanya, kejayaan itu merupakan hasil daripada perancangan yang teliti di pihak JWP bersama-sama dengan agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah JWP menerusi insentif dan kemudahan yang telah disediakan untuk semua pemaju perumahan yang bersama-sama dengan kerajaan dalam usaha membangunkan perumahan mampu milik di Wilayah Persekutuan.
“Saya sentiasa berpandangan bahawa pembangunan hendaklah membawa erti dan manfaat kepada rakyat, bukannya sekadar menambah bangunan sebagai peluang kepada pemaju meraih keuntungan.
“Pengurusan pembangunan di Wilayah Persekutuan memerlukan keseimbangan di antara kebajikan rakyat dan periuk nasi pemaju. Visi Bandar CHASE yang sering saya sebut dalam tempoh satu tahun ini bukanlah hanya retorik tetapi benar-benar sedang diintegrasikan dengan dasar semasa pembangunan yang sedang berkuat kuasa di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya. – WILAYAHKU