DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyangkal dakwaan tidak membenarkan seniman jalanan atau buskers membuat persembahan di bazar-bazar anjuran DBKL.
Sebaliknya DBKL sentiasa menyokong seniman jalan untuk berkarya tetapi perlu selari dengan garis panduan ditetapkan.
Ia susulan seorang pemuzik jalanan mendakwa DBKL tidak membenarkannya membuat persembahan di Bazar Ramadan.
“Pihak kami ingin menegaskan bahawa aktiviti busking dibenarkan di lokasi terpilih, namun tertakluk kepada beberapa syarat.
“Mereka perlu mempunyai permit sah daripada DBKL. Persembahan mengikut lokasi yang ditetapkan serta penggunaan peralatan akustik saja dibenarkan bagi menjaga keselesaan pengunjung dan peniaga.
“DBKL juga sedang meneliti dan menyesuaikan syarat-syarat lain mengikut perkembangan ekosistem seni muzik yang dinamik, bagi memastikan kesesuaian persembahan dengan situasi semasa,” ujar DBKL dalam satu kenyataan.
Senarai lokasi bazar yang membenarkan busking akan diumumkan dalam masa terdekat berdasarkan Garis Panduan KL Street Artist yang berkuat kuasa.
“Kami menghargai bakat seni tempatan dan berharap inisiatif ini dapat memperkaya pengalaman seni di Kuala Lumpur.
“Di samping itu kami mahu memastikan keseimbangan antara kepentingan peniaga, pengunjung, dan para seniman jalanan,” ujar DBKL lagi.-WILAYAHKU