DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada seorang ibu tunggal susulan insiden kebakaran sebuah unit rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, pada 14 September lepas.
DBKL berkata, ibu tunggal kepada tiga orang anak itu yang juga merupakan ketua penghuni unit terbabit juga turut ditawarkan unit rumah yang baharu di blok yang sama sebagai penempatan semula beliau dan anak–anak.
“Siasatan oleh pihak Bomba mendapati insiden berlaku disebabkan oleh peralatan elektronik power bank yang ditinggalkan dalam keadaan sedang dicaj pada soket
elektrik.
“Lebihan caj telah mengakibatkan cetusan api dan membakar unit tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah DBKL, penghuni Perumahan Awam (PA) dan PPR khususnya diingatkan agar lebih berhati–hati dalam mengendalikan barangan elektronik yang digunakan agar insiden sebegini tidak berulang pada masa akan datang.
DBKL menegaskan akan terus komited dalam memastikan keselamatan unit PA dan PPR sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik. – WILAYAHKU