DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan sitaan dan pindah halangan terhadap dua penjaja dan lima premis perniagaan di sekitar Parlimen Kepong dan Segambut.
DBKL berkata operasi tindakan khas tersenut dilaksanakan melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Pejabat Cawangan Segambut ke atas penjaja dan premis perniagaan yang menghalang tempat awam pada 9 Ogos lalu.
“Dalam operasi tersebut, seramai dua penjaja di Parlimen Segambut dan lima lagi premis perniagaan di Parlimen Kepong telah diambil tindakan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Kesemua barangan yang diambil tindakan pindah halangan telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
DBKL turut menegaskan akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” tegasnya. – WILAYAHKU