DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan tindakan sita pelbagai barangan perniagaan milik sembilan penjaja warga asing di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang), Lebuh Pudu, Jalan Tun Tan Cheng Lock (Kota Raya), Kuala Lumpur.
DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan Tindakan Khas Penjaja Warga Asing pada petang Ahad lepas.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, sepasukan pegawai dan penguatkuasa DBKL telah membuat 9 tindakan penguatkuasaan sita dan pindah barangan perniagaan serta merta ke atas penjaja-penjaja makanan, sireh, sayuran, pakaian terpakai tanpa kebenaran terdiri kalangan warga asing dari Bangladesh dan Indonesia.
“Aktiviti perniagaan mereka dijalankan secara terbuka di laluan kaki lima, pejalan kaki dan bergerak secara on off serta menyasarkan penjualan kepada golongan warga asing dari luar Kuala Lumpur yang hadir berhujung minggu di ibu kota.
“Tindakan penguatkuasaan di ambil menerusi kesalahan dibawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kesemua barangan yang disita, dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras untuk rekod dan dokumentasi.
“DBKL secara konsisten menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan berkaitan aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh warga asing terutamanya di kawasan tumpuan (hotspot) pusat bandar,” ujarnya. – WILAYAHKU