DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa bersiap siaga menghadapi banjir kilat jika ia berlaku pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata sebuah bilik gerakan yang terletak di Menara DBKL 1 telah beroperasi bertujuan memantau keadaan cuaca di ibu negara.
Menurutnya, pihaknya turut dibantu oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Multi-Hazard System yang diketuai seorang profesor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Agensi-agensi ini akan membantu daripada segi membuat ramalan dan panduan mengenai keadaan cuaca seperti taburan hujan, kelebatan hujan dan kawasan yang berisiko berlakunya banjir.
“Daripada data itu, kita akan membuat tindakan seterusnya bergantung kepada situasi seperti meletakkan beg pasir tambahan berhampiran sungai. Kita sentiasa bersedia untuk menghadapinya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran penyewaan /menduduki Residensi Sungai Udang, Segambut hari ini.
Mengulas lanjut, Mahadi berkata pihaknya bekerjasama dengan bersama Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk sentiasa memantau sistem perparitan bagi memastikan ia berfungsi dengan baik dan tidak tersumbat.
“Kita juga mempunyai warden trafik yang bukan sekadar menjalankan tugas menyurai aliran trafik ataupun menguatkuasakan undang-undang tetapi juga melaksanakan sesuatu yang di luar jangkaan,” katanya. – WILAYAHKU