Berita

DBKL selaraskan PPR, PA tak perlu bayar sewa 6 bulan

TAN SRI ANNUAR MUSA
- Diterbit 28 Mac 2020 5:00 AM MYT

PUTRAJAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) akan membuat pelarasan ke atas inisiatif Wilayah Cakna yang diumumkan sebelum ini  dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

Dalam pakej itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) diberi pengecualian sewa selama enam bulan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, Perdana Menteri memberi tawaran yang lebih baik terutama kepada penyewa premis dan perumahan awam di Malaysia.

“Pelarasan pengecualian sewa PPR MTEN, perumahan awam DBKL dan premis perniagaan di bawah kelolaan DBKL, PPj serta Perbadanan Labuan ini sahaja melibatkan kos tambahan sebanyak RM35.8 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Annuar mengumumkan melalui inisiatif Wilayah Cakna, 40,000 penyewa PPR/PA DBKL dikecualikan bayaran sewa selama sebulan dan penangguhan sewa dua bulan.

Annuar berkata, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) membantu secara langsung semua pihak terutama golongan B40 dan M40 melalui cara meningkatkan kecairan dan keupayaan mereka dan rakyat berbelanja.

“Ekonomi negara memerlukan suatu tujahan untuk bertumbuh dan dana awam perlu dilihat boleh diperoleh agar membolehkan rakyat mempunyai lebihan tunai di dalam saku mereka.

“Berdasarkan pengamatan saya, pakej rangsangan ini bukan sekadar pemberian tunai tetapi suatu tujahan untuk memastikan ekonomi modal dapat terus berjalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, pakej rangsangan ini akan memastikan imbangan yang baik di antara ekonomi rakyat tanpa
meminggirkan sama sekali ekonomi modal.

“Intervensi sangat diperlukan ketika ini dan kerajaan tidak mempunyai pilihan, melainkan untuk memutuskan suatu pakej rangsangan yang besar bagi memastikan ekonomi dapat terus berkembang.

“Tanpa intervensi, pertumbuhan keluaran domestik negara akan
semakin menguncup dan berkemungkinan boleh menjadi negatif sekiranya kerajaan tidak melakukan sesuatu dengan pantas sekarang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas