DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan roboh struktur tambahan tanpa kelulusan dan sita dalam satu Operasi Bersepadu (Operasi Roboh Struktur) di sekitar lorong Sultan Ismail, Bukit Bintang.
Operasi tersebut dijalankan DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Integriti, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar dan Pejabat Cawangan Bukit Bintang serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).
DBKL berkata hasil daripada operasi yang dijalankan, DBKL telah meruntuhkan struktur binaan yang dibina di atas rizab jalan awam di sekitar lorong Sultan Ismail, Bukit Bintang.
“Selain itu, barangan-barangan yang berkaitan dengan perniagaan yang diletakkan di laluan keluar masuk lorong tersebut juga turut dikenakan tindakan sita.
“Kesemua sisa struktur telah dilupuskan oleh DBKL selepas tamat operasi yang dijalankan dan kesemua barangan yang diambil tindakan telah dibawa ke Stor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
DBKL turut menegaskan akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” tegasnya. – WILAYAHKU