DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan Operasi Tindakan Bersepadu melibatkan perobohan 32 struktur haram yang dibina warga asing.
Menerusi hantaran di laman facebook, DBKL berkata operasi tersebut dilaksanakan di Lot 201224, Tanah Milik Datuk Bandar Kuala Lumpur, Jalan 1/48A, Bandar Baru Sentul bermula pukul 9.30 pagi tadi.
“Dalam operasi tersebut, perobohan struktur haram melibatkan 27 kediaman warga asing, tiga buah kedai runcit, sebuah surau dan satu struktur perniagaan besi buruk yang telah dikosongkan oleh pemilik.
“Kesalahan diambil di bawah seksyen 46(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya
Menurut DBKL, operasi bersepadu itu melibatkan beberapa jabatan dalaman DBKL seperti Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Penilai dan Pengurusan Harta serta Pejabat Cawangan Batu.
”Operasi tersebut turut disertai oleh beberapa agensi sahabat seperti Pejabat Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Air Selangor (SYABAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Operasi bersepadu berjalan lancar dengan kerjasama erat dari semua agensi yang terlibat dan tindakan sebegini akan diteruskan di lokasi lain dari masa ke semasa,” katanya. – WILAYAHKU