Berita

DBKL pantau, ambil tindakan di atas kesalahan peniaga Jalan Petaling

- Diterbit 18 Oktober 2024 11:56 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus memantau, menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas kesalahan dilakukan peniaga dan penjaja di sekitar kawasan Jalan Petaling.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, tindakan penguatkuasaan atau Operasi Roboh yang dilaksanakan di sekitar kawasan itu adalah bertujuan untuk memastikan jalan, lorong, siar kaki yang dikhaskan bagi kegunaan dan laluan orang awam bebas daripada sebarang halangan atau struktur tambahan.

“Halangan yang disebabkan oleh penjaja atau pemilik perniagaan bukan sahaja telah menghalang dan mengecilkan ruang laluan pejalan kaki atau menutup terus lorong belakang premis.

“Ia turut menyebabkan kerja-kerja pembersihan oleh petugas pembersihan seperti Alam Flora dan SWCorp sukar untuk dilaksanakan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai langkah seterusnya selepas operasi pembersihan dan perobohan struktur haram dan pelan penambahbaikan di Jalan Petaling.

Zaliha memberitahu, penglibatan serta kerjasama daripada jabatan-jabatan dalaman DBKL akan terus dipergiatkan bagi memastikan kerja-kerja menaik taraf, pengindahan lorong belakang Jalan Petaling dapat dilaksanakan dengan lebih terancang.

Katanya, ini termasuk menyusun atur semula penjaja berlesen ke lokasi yang lebih sesuai.

“Ia seterusnya menjadikan kawasan Jalan Petaling lebih menarik, sistematik dan menjadi tumpuan lebih ramai pengunjung serta pelancong,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas