Berita

DBKL lapor polis provaksi penjaja di Jalan TAR

INSIDEN provokasi yang berlaku diantara penjaja tanpa permit dan penguatkuasa di Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam.
- Diterbit 5 Mei 2021 1:38 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat laporan polis terhadap kejadian provokasi sekumpulan penjaja tanpa kebenaran terhadap penguatkuasanya dalam satu kejadian pada pukul 12.15 malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Isnin lalu.

Menerusi satu kenyataan, ketika kejadian berlaku, anggota penguatkuasaan DBKL sedang membuat rondaan di sekitar Jalan TAR selepas mendapat aduan awam terdapat ramai peniaga tanpa kebenaran beroperasi di lokasi itu.

“Ketika tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati beberapa peniaga tanpa kebenaran beroperasi dan sudah menasihat dan meminta mereka untuk beredar.

“Tindakan mereka berniaga di luar waktu yang dibenarkan iaitu melebihi jam 12 tengah malam dan sudah melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bagaimanapun, peniaga berkenaan enggan beredar malah mula membuat tindakan provokasi terhadap anggota bertugas termasuk memukul ‘roller shutter’ premis perniagaan berhampiran selain menghambur kata-kata kesat,” katanya hari ini.

Menurutnya, peniaga tanpa kebenaran itu turut menjejaskan peniaga yang telah mempunyai lesen yang berniaga di lokasi yang sama.

“Tindakan mereka berniaga di luar waktu yang dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga mengundang pelbagai masalah,” katanya.

Walau bagaimanapun, tiada tindakan sitaan dilaksanakan oleh DBKL dalam kejadian itu dan satu laporan polis sudah dibuat mengenainya. – AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas