Berita

DBKL jalin kerjasama laksana Progam UCRP

- Diterbit 6 Mac 2024 12:12 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalinkan kerjasama bersama tiga syarikat bagi melaksanakan program Daya Tahan Iklim Bandar (Urban Climate Resilience Program- UCRP) Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan hari ini DBKL memaklumkan, kerjasama itu melibatkan C40 Cities Leadership Group, Zurich Malaysia dan yayasan Z Zurich yang bertujuan untuk membina kemampanan dan dayat tahan komuniti dalam menangani kesan daripada perubahan iklim.

“UCRP akan memberi tumpuan kepada matlamat memperkasakan komuniti, memupuk perkongsian, dan melaksanakan tindakan bagi mewujudkan daya tahan masyarakat dalam menangani risiko yang semakin meningkat akibat dari perubahan iklim, seperti banjir dan gelombang panas.

“Projek ini juga adalah selaras dengan visi DBKL iaitu menjadikan bandar raya sejahtera untuk semua menjelang 2030 serta bagi memastikan kesejahteraan warga kota dengan memberikan kesedaran berkaitan adaptasi menghadapi perubahan iklim,” jelas kenyataan tersebut.

Menurut DBKL, dua lokasi telah dipilih untuk pelaksanaan projek perintis ini iaitu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin dan Kampung Pasir.

DBKL berkata, selain komuniti setempat di PPR Beringin dan Kampung Pasir, projek ini turut akan melibatkan agensi kerajaan serta pihak berkepentingan yang lain bagi menyediakan jalan penyelesaian yang inovatif ke arah meningkatkan daya tahan masyarakat di Kuala Lumpur terhadap perubahan iklim.

Terdahulu, Majlis Pra Pelancaran Program Daya Tahan Iklim Bandar (Urban Climate Resilience Program – UCRP) Kuala Lumpur telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh bertempat di Hotel Vivatel Kuala Lumpur.

Majlis Pra-Pelancaran ini merupakan simbolik kerjasama semua pihak dalam memulakan projek transformatif ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas