DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan sebanyak dua notis kompaun dalam satu Operasi Tindakan Khas Tapak Bina di Lot PT 2670 dan Lot PT 256, Jalan Ulu Ampang, Mukim Ampang, Kuala Lumpur, semalam.
Operasi tersebut disertai DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Perancangan Infrastruktur, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar serta Pejabat Cawangan Titiwangsa.
DBKL berkata hasil daripada operasi yang dijalankan, sebanyak dua notis kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 70(13)(c) dan Seksyen 70(13)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Selain itu, DBKL juga turut mengeluarkan satu notis Perakuan Pungutan Jentik-jentik di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 serta satu notis penguatkuasaan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Tapak projek tersebut juga telah dikenakan tindakan tutup serta merta sehingga kerja-kerja pematuhan dilaksanakan dan semua kompaun dijelaskan oleh pihak kontraktor,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
DBKL menegaskan akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan http://adukl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do,” tegasnya. – WILAYAHKU