Berita

DBKL diarah percepat penilaian cerun Taman Bunga Raya

- Diterbit 25 Ogos 2024 11:22 AM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkaitan untuk mempercepatkan penilaian cerun di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang, berhampiran Kem Wardieburn.

Beliau berkata penilaian cerun di kawasan itu supaya mangsa boleh pulang semula ke rumah mereka sekiranya keadaan cerun didapati tidak berbahaya.

“Semoga mangsa tabah dan kuat menghadapi ujian ini,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Zaliha berkata beliau berkesempatan ke kawasan insiden tanah runtuh di Taman Bunga Raya dan singgah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menyantuni dua keluarga yang masih ditempatkan di sana.

Beliau berkata beberapa keluarga lain telah meninggalkan PPS dan tinggal di rumah ahli keluarga.

“Ada juga daripada mereka yang menyewa secara sementara,” katanya.

Zaliha juga berkata telah menyampaikan sedikit bantuan berbentuk wang tunai kepada kedua-dua keluarga tersebut.

Beliau berkata mereka juga telah menerima bantuan bakul makanan dan sesi kaunseling daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Media melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan sebahagian dinding penahan di Taman Bunga Raya runtuh kira-kira 5.40 petang semalam sehingga menjejaskan sebuah rumah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas