DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan belanjawan tahun 2024 berjumlah RM2.66 bilion yang mencatat peningkatan 2.13 peratus berbanding tahun lepas.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira RM2.01 bilion atau 75.6 peratus adalah bajet mengurus manakala baki RM650 juta adalah untuk peruntukan pembangunan.
Mengumumkan bajet itu pada Rabu (20 Dis), Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr. Kamarulzaman Mat Salleh berkata belanjawan yang bertemakan ‘Aspirasi Madani, Bandar Raya Lestari’ turut menganggarkan peningkatan hasil tahun 2024
berjumlah RM2.31 bilion berbanding RM2.08 bilion pada tahun 2023 yang merupakan daripada kenaikan sebanyak 11 peratus.
“Hasil cukai taksiran pada tahun 2024 dianggarkan berjumlah RM1.44 bilion dan ianya merupakan hasil utama DBKL yang menyumbang sebanyak 62.4 peratus daripada hasil keseluruhan DBKL.
“Sehingga kini, bilangan hartanah di Kuala Lumpur yang terdiri daripada bangunan pejabat, rumah kediaman, hotel dan premis perniagaan telah direkodkan sebanyak 751,280 akaun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan DBKL 2024 di Menara 1 DBKL pada Rabu.
Tambah Kamarulzaman, selain hasil Cukai Taksiran, terdapat juga hasil-hasil lain seperti kawalan binaan dan perancangan, lesen dan permit, sewaan harta dan sewaan perumahan, denda dan kompaun dan terimaan daripada Kerajaan Pusat.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi, Ismadi Sakirin dan Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek, Mohamad Hamim serta pengarah-pengarah jabatan lain.
Menurut Datuk Bandar, bagi Peruntukan Pembangunan, sejumlah RM0.65 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan projek-projek pembangunan, pembelian dan penggantian aset-aset modal sepanjang tahun 2024.
“Jumlah tersebut terbahagi kepada pembiayaan oleh DBKL sebanyak RM569.7 juta (88 peratus) manakala RM77 juta (12 peratus) merupakan pembiayaan kerajaan dan lain-lain.
“Pembiayaan Kerajaan adalah terdiri daripada projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) sebanyak RM59.6 juta dan sebanyak RM16.7 juta diperuntukkan di bawah program NKEA Greater KL / KV bagi projek River of Life dan KL Heritage Trail serta baki sejumlah RM0.63 juta adalah bagi projek Pedestrian Linkages di bawah pembiayaan sumber lain,” katanya.
Datuk Bandar berkata, belanjawan ini turut menggariskan 11 program keutamaan Belanjawan 2024 untuk merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya sejahtera untuk semua menjelang tahun 2030.
“Antara program tersebut adalah Program Pengurusan mitigasi banjir, program pengurusan kesesakan lalu lintas; Program Low Carbon; Program Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC); dan Program Kelestarian Bandar.
“Selain itu Program Pengurusan Penjaja; Program Council Home / Perumahan Bandar; Program pembangunan dan kesejahteraan komuniti; Program Kebudayaan, Kesenian dan Sukan; Program Pelancongan dan Kursus / Program Capacity Building yang melibatkan pegawai dan kaki tangan DBKL,” katanya.
Ujar beliau, secara keseluruhannya, Belanjawan 2024 adalah merupakan Belanjawan Defisit berjumlah RM275.9 juta dan untuk mengimbangi defisit tersebut, DBKL mengambil pendekatan untuk meningkatkan hasil melalui penjanaan hasil baru seperti mengenakan caj RM1 bagi setiap perjalanan kepada bukan warganegara Malaysia yang menggunakan perkhidmatan bas GOKL mulai 1 Januari 2024 yang melibatkan empat laluan di sekitar pusat bandar.-WILAYAHKU