LANGKAH pengurangan karbon di Kuala Lumpur bagi mengimbangi kepesatan pembangunan ekonomi, fizikal dan menjaga kualiti alam sekitar perlu dilaksanakan melalui Pelan Induk Inisiatif Masyarakat Rendah Karbon menjelang tahun 2030.
Dalam menyokong dasar tersebut, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited dalam memfokuskan pembangunan kawasan hijau terbiar untuk dijadikan taman kejiranan.
“Sebanyak lima lokasi kawasan hijau di Kuala Lumpur telah berjaya dibangunkan sepanjang tahun 2023. Selain itu, DBKL juga berusaha mewujudkan lebih banyak kawasan hijau menerusi program penanaman pokok bagi menyokong Kempen Penanaman 1 Juta Pokok yang melibatkan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
“Sejajar dengan itu, sebanyak tiga pokok semambu telah ditanam semasa Majlis Perasmian Taman Kejiranan Ikhlas, Bandar Tun Razak sebagai inisiatif menambah litupan hijau di Kuala Lumpur,” katanya.
Kamarulzaman berkata seiring dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal) 2030, penyediaan taman kejiranan ini mampu meningkatkan kesedaran masyarakat akan kepentingan kawasan riadah dan rekreasi dalam mensejahterakan penduduk bandar.
“Ia dapat meningkatkan kualiti dan budaya hidup sihat penduduk setempat. Lokasi taman yang berhampiran dengan tempat kediaman memudahkan akses penduduk untuk beriadah ketika waktu senggang.
“Taman Kejiranan Ikhlas merupakan antara taman terbaharu yang telah siap dibina pada tahun 2023 dengan keluasan 2.5 ekar dan telah melalui beberapa fasa pembangunan bermula sejak 2016 sehingga selesai dilaksanakan pada Mei 2023.
“Tapak yang sebelum ini adalah kawasan belukar terbiar, telah bertukar wajah menjadi sebuah taman yang indah dan selamat untuk digunakan oleh penduduk,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata taman 24 jam ini dilengkapi pelbagai fasiliti antaranya taman permainan kanak-kanak, alat senam riang dan pejalan kaki. – WILAYAHKU