DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menyediakan satu pelan tindakan dalam mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh peniaga-peniaga di Pasar Datuk Keramat dan Kompleks Pasar Raja Bot.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif berkata pihaknya turut menerima maklum balas yang pelbagai daripada penduduk setempat serta peniaga terlibat.
“Selepas ini kita akan melihat apakah tindakan segera yang boleh dilakukan oleh DBKL dan juga untuk tindakan masa panjang yang bersesuaian.
“Saya juga akan bawa perkara ini untuk berbincang di pejabat dan menyediakan satu work plan juga action plan untuk kita cuba menyelesaikan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh dua pasar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan turun padang ke Pasar Datuk Keramat dan Kompleks Pasar Raja Bot baru-baru ini yang juga merupakan lawatan ketiga beliau selepas dilantik menjadi Datuk Bandar.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada peniaga-peniaga terlibat yang telah memberikan kerjasama kepada pihak DBKL.
“Saya cakna bahawa harapan mereka adalah amat tinggi kepada DBKL untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dan saya menyeru kepada semua peniaga untuk sentiasa menjaga kebersihan pasar serta memberikan kerjasama yang baik kepada pihak DBKL dalam mendapatkan penyelesaian yang adil untuk kedua belah pihak.
“Ini amat perlu untuk kita melestarikan gerai-gerai ataupun peniaga-peniaga yang meniaga di sini terutama di Pasar Datuk Keramat dan juga Pasar Raja Bot,” ujarnya.
Terdahulu, selain meninjau keadaan semasa kedua pasar berkenaan, Maimunah turut diberi taklimat mengenai isu-isu berbangkit, perancangan serta pelaksanaan kerja oleh pegawai DBKL yang bertanggungjawab. – WILAYAHKU