Berita

Datuk Bandar tinjau masalah bekalan air di PPR Intan Baiduri

BEKALAN air di PPR Intan Baiduri dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 24 jam. Kredit Foto oleh - DBKL
- Diterbit 14 Jun 2021 6:01 AM MYT

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah turun padang bersama Pegawai teknikal DBKL pada Ahad bagi meninjau dan melihat sendiri masalah bekalan air yang berlaku sejak kebelakangan ini di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri.

Semasa tinjauan, Mahadi diberikan taklimat oleh pegawai teknikal mengenai masalah yang berlaku dan tindakan baik pulih yang dilaksanakan.

Menurut DBKL, pihaknya telah membekalkan 6 unit ‘static tank’ untuk kemudahan bekalan air penduduk dengan melibatkan 6 blok dan 1,834 unit rumah.

Sementara itu, beliau juga telah bertemu Persatuan Penduduk PPR Intan Baiduri, Encik Rashid Samad untuk mendengar dan menerima maklumat mengenai masalah bekalan air di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, beliau difahamkan bahawa bekalan air di PPR ini akan pulih secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 24 jam. Punca dan gangguan bekalan air masih dalam siasatan oleh pihak DBKL. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas