Berita

Data tepat dapat bantu KL, Putrajaya beralih Fasa – Jalaluddin

JALALUDDIN ketika mengadap Datuk Undang Luak Jelebu di Balai Undang Luak Jelebu, Kuala
- Diterbit 10 September 2021 8:02 AM MYT

PUSAT Pengurusan Krisis COVID-19 (CCMC) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memerlukan data yang tepat bagi membolehkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengemukakan
permohonan untuk Kuala Lumpur dan Putrajaya berpindah dari Fasa 1 kepada Fasa 2 mengikut Program Pemulihan Negara (PPN).

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya memerlukan jumlah sebenar data untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi individu yang telah menerima suntikan berdasarkan rekod dan data.

“Ketika ini, apa yang diberikan adalah peratusan berdasarkan kepada jumlah suntikan (jab) yang diberi sahaja.

“Jika warga kota telah mendapat suntikan vaksin melebihi kadar yang ditetapkan dan telah mencapai imuniti kelompok, kerajaan wajar untuk meluluskan peralihan daripada Fasa 1 ke Fasa 2 PPN kerana ia penting untuk kebajikan dan perkembangan masyarakat, ekonomi dan aktiviti bagi kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mengadap Datuk Undang Luak Jelebu di Balai Undang Luak Jelebu, Kuala Klawang pada Isnin.

Tegas Jalaluddin, melalui data tersebut, ia dapat memberikan gambaran mengenai pencapaian dan kejayaan kerajaan dalam mencegah penularan wabak tersebut di kedua-dua Wilayah
Persekutuan.

“Kita tidak lagi mampu untuk menangguhkan lagi segala aktiviti ekonomi. Segala bentuk aktiviti pentadbiran bagi memastikan negara kita dapat memecut semula untuk perkembangan ekonomi serta pentadbiran negara.

“Walaupun data menunjukkan sudah mencapai kadar vaksin 160 hingga 170 peratus, tetapi apakah data sebenarnya. Saya telah meminta penjelasan daripada kementerian berkenaan supaya
mengemukakan data yang sebenar mengenai warga kota yang telah mendapat suntikan.

“Jika warga kota telah mendapat suntikan vaksin melebihi kadar yang ditetapkan iaitu telah mencapai imuniti kelompok ini, kerajaan wajar untukmeluluskan peralihan daripada Fasa 1 ke Fasa 2 PPN kerana kepentingan peralihan fasa ini untuk kebajikan dan perkembangan masyarakat, ekonomi dan aktiviti bagi kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Jelasnya, pihaknya berpendapat pembukaan kegiatan ekonomi terutama bagi masyarakat kota terutama di kedua-dua kawasan adalah wajar dan sangat penting jika proses peralihan itu mencukupi dan memenuhi kehendak.

“Ia perlu disegerakan kerana penting untuk kita menembusi semula segala aktiviti ekonomi terutama bagi usahawan kecil, pertengahan dan kegiatan masyarakat kerana Kuala Lumpur ini adalah
merupakan ‘Centre of Our City’, kerana bila orang sebut Malaysia, orang akan sebut Kuala Lumpur dan bila orang sebut pentadbiran, orang akan sebut Putrajaya.

“Itulah pentingnya untuk kedua-dua kawasan ini untuk beralih fasa tetapi dengan syarat, kehendak dan tuntutan vaksinasi kelompok ini sudah dipenuhi kerana kita tidak boleh berkompromi
dengan keselamatan rakyat berkaitan dengan pandemik ini,” katanya.

Tambahnya, pihaknya akan juga memulakan semula program vaksinasi bergerak melalui Mobil Vaksin dalam tempoh dua minggu di beberapa tempat yang mencatatkan peningkatan kes 500
ke atas.

“Kita akan hantar mobil vaksin outreach program bagi mengadakan suntikan terbuka dan mana-mana individu yang belum menerima suntikan vaksin ini hanya perlu datang dan menerima
suntikan secara walk in (daftar terus) dan ia bermula minggu ini,” katanya. – AZLAN ZAMBRY

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas