Putrajaya

Dashboard PENJAYA penanda aras nasional

JUHAIDI menyerahkan cenderamata kepada Mohd Uzir semasa Majlis Peluncuran Dashboard PENJAYA baru-baru ini.
- Diterbit 23 Mei 2025 10:34 PM MYT

KOMUNITI penjaja dan peniaga kecil Putrajaya kini melangkah ke hadapan dalam arus pendigitalan negara apabila Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya (PENJAYA) melancarkan dashboard data bersepadu pertama di Malaysia khusus untuk golongan penjaja.

Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan telah dirasmikan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Putrajaya.

Menurut beliau, dashboard PENJAYA bukan sahaja menjadi pencetus perubahan kepada cara data penjaja dikumpul dan dianalisis, malah bakal menjadi model kebangsaan yang akan diperluaskan ke negeri-negeri lain menjelang hujung tahun ini.

“Putrajaya menunjukkan contoh terbaik bagaimana komuniti peniaga kecil boleh memanfaatkan teknologi dan data untuk merancang masa depan mereka,” jelas beliau.

Sementara itu, Presiden PENJAYA, Juhaidi Yean Abdullah menegaskan bahawa dashboard ini bukan sekadar alat visualisasi data, tetapi sebuah platform pemerkasaan ekonomi komuniti akar umbi.

“Melalui data yang dikumpul, kita kini mampu mengenal pasti keperluan sebenar ahli, contohnya belia yang perlukan geran keusahawanan atau ibu tunggal yang layak menerima bantuan zakat. Ia menjadikan intervensi kita lebih bersasar dan berimpak,” katanya.

Putrajaya yang kini mempunyai kira-kira 120,000 penduduk, menerima lebih 1.9 juta pelawat setahun, satu angka signifikan yang memberikan potensi besar kepada penjaja tempatan.

Dashboard ini membantu peniaga memahami corak perbelanjaan pelancong, mengenal pasti jenis makanan kegemaran mereka serta tabiat membeli-belah yang boleh dimanfaatkan dalam penyediaan strategi jualan dan permohonan pembiayaan.

Data semasa menunjukkan daripada 1,062 penjaja dan peniaga kecil berdaftar di Putrajaya, 48.2% terdiri daripada golongan muda.

Jelas Juhaidi ini memperlihatkan keterlibatan aktif generasi baharu dalam ekosistem keusahawanan tempatan dan menjadikan Putrajaya sebagai pusat pertumbuhan ekonomi mikro yang segar dan dinamik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas