Berita

“Darurat untuk kebaikan semua” – Wafariena

- Diterbit 14 Januari 2021 10:12 PM MYT

PELAKON dan penyanyi Wafariena berharap rakyat Malaysia patuh pada arahan kerajaan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

Bagi pemilik nama sebenar Wafariena Roslan, 25, pengisytiharan darurat politik antara langkah positif kerajaan dalam meredakan kes COVID-19 yang semakin mengganas. 

“Sejujurnya saya sendiri tidaklah terlalu arif apabila menyentuh soal darurat politik yang telah diumumkan oleh kerajaan.

“Namun kita semua tahu, darurat ini untuk kebaikan semua. Ia sangat penting dalam mengekang COVID-19 daripada terus berjangkit. 

“Bayangkan bagaimana kalau kempen politik dan pilihan raya diteruskan, sudah tentu membahayakan nyawa rakyat.

“Jadi, fahamilah setiap apa yang kerajaan laksanakan itu pasti ada alasan yang munasabah.   

“Saya sebagai salah seorang rakyat ikut apa saja keputusan yang dibuat. Semoga darurat ini menjadikan Malaysia bebas daripada COVID-19,” luah Wafariena yang hugs berharap masyarakat terus memberi kerjasama kepada kerajaan.

Menyentuh soal kerjaya, Wafariena baru sahaja selesai penggambaran drama bersiri Baby Tak Gila yang akan disiarkan di Hypp TV bermula 16 Februari ini.

“Saya bawa watak utama bersama Syazuwan Hassan dalam drama 16 episod ini.

“Macam-macam babak menarik dalam drama ini. Ada kelakar dan juga sedih. Peminat wajib tonton ya!” Jelasnya lagi yang kini berehat seketika kerana PKP.

Sebelum ini Wafariena popular menerusi drama bersiri 7 Hari Mencintaiku 2 bersama pelakon Shukri Yahaya, Siti Saleha, Liza Abdullah, Syazwani Zulkifly dan ramai lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas