Berita

Daripada perunding perisian kepada seorang pendaki

- Diterbit 20 April 2021 2:22 AM MYT

TERTARIK dengan aspek fizikal dan pengalaman penuh cabaran dalam pendakian, seorang pengurus dan pengatur laluan (route setter), Izzudin Husin, membuat keputusan besar dalam hidupnya dengan meninggalkan kerjayanya dalam industri teknikal yang menjanjikan pendapatan lumayan, untuk menceburkan diri dalam industri pendakian di luar negara.

Melalui pendakian, Izzudin, 29, dapat melakar pelbagai pengalaman pahit manis di tanah air sebelum berpindah ke Singapura untuk meneruskan impiannya dan bekerja di gimnasium pendakian iaitu Climb Central di republik itu.

Beliau percaya bahawa ada sesuatu yang terapeutik mengenai sukan itu, menerusi pengalaman yang diperoleh termasuk terkandas dalam ribut petir selama 16 jam, meminum air yang kelihatan meragukan dan menyaksikan rakannya patah tangan di negara asing yang penjagaan kesihatannya agak teruk.

Walaupun pernah memenangi beberapa pertandingan tempatan termasuk kejuaraan negeri untuk Selangor (Bouldering and Speed) dan Sarawak (Bouldering) pada 2016, pendakiannya di luar negara tidak memberi nasib yang baik kerana beliau gagal disebabkan kecederaan pada kaf rotator.

“Saya kemudian memutuskan untuk lebih fokus dalam mendorong gred pendakian di luar dan mengatur objektif lebih besar (pendakian tembok besar) di tempat-tempat terpencil,” katanya kepada Bernama.

Ketika ditanya mengenai pengalamannya terperangkap dalam ribut petir selama lebih 12 jam, Izzudin berkata kejadian itu berlaku di Pulau Tioman pada 2016 semasa beliau mencuba pendakian epik di Dragon Horn dalam keadaan cuaca tidak begitu baik.

“Saya agak baru dalam pendakian tembok besar ini dan sekadar mencuba nasib, tetapi sepanjang pendakian, kami sedar bahawa kami tidak mempunyai air dan makanan yang mencukupi tetapi kami tetap mendaki ke puncak.

“Kemudian hujan turun tanpa henti dan trek pendakian kami berubah menjadi air terjun, keadaan menjadi bahaya apabila petir menyambar hampir di tempat kami dan memutuskan untuk berlindung dalam satu ruang kecil kerana ribut berterusan hingga tengah hari keesokannya,” katanya.

Menjelas lanjut, Izzudin berkata walaupun ia agak menakutkan dan berbahaya, kejadian itu pasti tidak akan dilupakan kerana bukan semua orang dapat merasai pengalaman sebegitu.

Selain itu, beliau turut berkongsi kejayaan solonya apabila berjaya mendaki Gua Damai, Batu Caves berketinggian kira-kira 90 meter tanpa tali dan alat belay, bersendirian.

“Pada masa itu pukul 6.30 pagi dan rakan saya tidak muncul, mungkin masih tidur. Minggu itu agak teruk dan saya memerlukan rehat daripada kehidupan universiti. Oleh kerana saya perlu menghadiri kelas pada 8.30 pagi, saya memutuskan untuk mendaki seorang diri dan mengambil masa 40 minit untuk sampai ke atas.

“Ini kerana saya sudah biasa dan selesa dengan keseluruhan laluan pendakian di Gua Damai, itulah sebabnya saya rasa yakin untuk mendaki seorang diri,” katanya.

Mula menjadi pendaki sejak 2012, Izzudin berkata walaupun melalui jatuh bangun dalam sukan ini, pendakian telah membawanya ke banyak tempat di seluruh dunia, mengenali budaya baharu dan bertemu orang baharu.

Tidak kira betapa menarik dan berbahayanya sukan pendakian, nasihatnya kepada pendaki muda ialah mendakilah mengikut rentak sendiri, melakukannya dengan selesa dan elakkan kecederaan, nikmati saat pendakian kerana semua jenis sukan ada bahayanya yang tersendiri. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas