Biz

Dari jalanan, Burgerman setaraf luar negara

NORDIN menunjukkan kualiti burger yang dihasilkan Burgerman dengan bahan-bahannya menggunakan sumber tempatan.
- Diterbit 7 Mac 2025 2:32 PM MYT

BERMULA dari jalanan di awal perniagaannya, usahawan Bumiputera, Nordin Mat beralih membuka jenama BGM Burgerman yang menawarkan makanan segera bercita rasa tempatan.

Pengurus Besar Burgerman, Nordin Mat berkata sejak dibuka di Kompleks Bangi Gateaway, perniagaannya semakin mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Menurut beliau, Burgerma dibukakerana tidak ramai Bumiputera berkecimpung dalam perniagaan makanan segera berasaskan burger sebagai menu utama.

“Kalau lihat peniaga lain, kebanyakannya membuka restoran makanan segera berasaskan ayam goreng.

“Kita memfokuskan burger manakala ayam goreng sebagai makanan sampingan,” katanya ketika ditemui di BGM Burgerman.

Nordin, 52, yang berasal dari Pantai Remis, Perak berkata semangat tidak putus asa membuatkan perniagaannya semakin berkembang.

Beliau berkata pembukaan Burgerman baru berusia hampir tiga bulan.

“Buka Burgerman pada 22 November tahun lepas. Kita buka Burgerman nak menyediakan alternatif selain fast food lain yang sebelum ini diboikot dalam isu Palestin,” katanya.

Nordin berkata Burgerman menawarkan makanan segera yang dihasilkan daripada bahan-bahan segar menggunakan sumber tempatan.

“Dari segi roti, patty daging, sos, ayam, tepung dan lain-lain, semuanya bahan tempatan.

“Ramai orang ingat kami menggunakan bahan dari luar (import), tidak. Semua guna bahan homegrown (buatan sendiri), kita bantu usahawan-usahawan tempatan,” katanya.

Nordin yang juga pengasas jenama GTR Burger berkata perniagaannya juga menyediakan khidmat ‘drive in’ bagi memudahkan pelanggan membeli.

Dalam pada itu Nordin berkata beliau berhasrat untuk melebarkan cawangan BGM Burgerman di Shah Alam, Selangor dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada tahun ini berikutan permintaan yang memberangsangkan.

Beliau berkata selain itu, pelanggan juga boleh membuat pesanan secara dalam talian.

Katanya dari segi harga juga sangat berpatutan dan penjualan bermula pada harga RM7.20.

Tambahnya setiap bulan pihaknya ada membuat promosi ‘before gaji meal’ dengan harga burger ayam RM2.

Menjelang Ramadan katanya Burgerman menyediakan pakej kepada mana-mana pihak yang ingin membeli set burger untuk
program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Kita boleh buat sehingga 3,000 set setiap hari.

“Ramai yang nak buat CSR boleh memilih Burgerman dan setiap pembelian melebihi RM200 akan mendapat satu set burger percuma,” katanya.

Nordin berkata sepanjang Ramadan perniagaannya dibuka sehingga pukul 5.30 pagi.

Katanya, waktu kebiasaannya adalah dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan dibuka setiap hari.

Beliau juga berkata mempunyai perancangan untuk membuka 24 jam sekiranya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Sementara itu Nordin turut menasihatkan mana-mana peniaga Bumiputera untuk tidak berputus asa dengan cabaran semasa dalam perniagaan.

Katanya, apa yang utamanya adalah memperbetulkan diri sendiri sebelum bersaing dengan orang lain.

“Saya rasa semua peniaga sama, tidak kira Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Banyak bersaing dengan diri sendiri dan apabila sudah berjaya barulah bersaing dengan orang lain. Masa sekarang perbetulkan perniagaan sendiri dulu,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas