DAKWAAN mengaitkan guru sebagai penjawat awam paling ramai memalsukan sijil cuti sakit (MC) adalah tidak bertanggungjawab.
Perkara itu ditegaskan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek susulan laporan sebuah akhbar berkenaan dakwaan tersebut.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil serius laporan media itu yang memberi persepsi
negatif terhadap profesion keguruan.
“Pada waktu ini terdapat lebih 400,000 orang guru di seluruh negara yang menjalankan tanggungjawab
dengan penuh komitmen dan integriti.
“Isu ini tidak sepatutnya berbangkit. Tatatekolala penjawat awam sentiasa diberi perhatian bagi memastikan prestasi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau menegaskan, kementerian mempunyai peraturan yang jelas bagi menangani isu tatatertib penjawat awam.
Katanya, pemantauan dilaksanakan secara berterusan di setiap peringkat dan penjawat awam yang terlibat dalam sebarang salah laku akan dikenakan tindakan.
“Kerajaan MADANI menghargai peranan penting guru membangunkan negara. Sebagai penghargaan kepada sumbangan guru, Perdana Menteri telah mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam pada Ogos lalu.
“KPM juga melaksanakan pelbagai usaha untuk memelihara kesejahteraan warga pendidik termasuk menerusi tujuh langkah bagi menangani beban tugas guru,” katanya.
Beliau menambah, KPM tekad untuk terus memartabatkan profesion keguruan dan profesionalisme guru mendidik anak bangsa perlu disanjung tinggi oleh seluruh lapisan masyarakat. – WILAYAHKU