Oleh DEEL ANJER
DALAM mempertahankan Palestin yang kini dizalimi tentera Israel, pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha akui tidak gentar jika pendirian itu boleh menjejaskan hubungan kerja bersama jenama antarabangsa.
Bagi Daiyan, rezeki hanya datang daripada Allah bukannya manusia.
“Mungkin posting (di Instagram) ini akan memberi kesan terhadap hubungan kerja saya dengan jenama-jenama antarabangsa tetapi apabila tiba masanya untuk saya berdiri teguh atas prinsip saya, saya tidak boleh berdiam diri untuk masa yang lama.
“Rezeki ada di mana-mana, dan Allah telah memberi saya kejayaan dan kebahagiaan yang tidak pernah saya bayangkan selama ini, alhamdulillah,” katanya.
Pada perkongsian yang sama, Daiyan turut menegaskan dia tetap akan terus bersuara mengenai isu semasa itu demi membantu umat Islam di Gaza yang sedang bertarung nyawa.
“Dan oleh itu di saat-saat getir ini saya tak akan pernah boleh berdiam diri dan membelakangkan agama saya, kepercayaan saya dan paling utama, saudara-mara saya di Gaza yang sedang bertarung nyawa, dibunuh, diperlaku dengan sangat kejam dan dirampas segala hak kemanusiaan mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Langit ini juga sudah menyalurkan sebanyak RM20,000 menerusi Persatuan Cinta GAZA Malaysia dan memohon seluruh rakyat Malaysia turut memberi bantuan. – WILAYAHKU