Selera

Daging salai kayu getah

- Diterbit 27 September 2024 5:19 PM MYT

MENU daging salai masak lemak sememangnya tidak dapat disangkal lagi keenakannya dan sering menjadi pilihan ramai terutamanya ketika hidangan makan tengah hari.

Menyedari ia membuka selera sesiapa sahaja‚ Glow Glamping Putrajaya menjadikannya salah satu tarikan dalam menu yang dihidangkan kepada pelanggan serta tetamu yang menginap di destinasi tersebut.

Rasa daging yang diasap dan ditambah kuah pekat berlemak membuatkannya menjadi igauan sesiapa sahaja yang berkunjung ke lokasi libur itu.

Menurut Penolong Pengurus Glow Glamping Putrajaya‚ Adam Hykal Yusof berkata masak lemak daging salai merupakan satu-satunya menu yang bertahan sejak diperkenalkan di kawasan itu tiga tahun lalu.

“Di sini setiap tahun‚ kita akan lakukan penambahbaikan serta pertukaran dari segi menu berdasarkan pilihan yang digemari oleh pengunjung itu sendiri.

“Biarpun menu daging salai masak lemak sinonim dengan Negeri Sembilan‚ namun terdapat perbezaan antara menu di negeri tersebut dengan yang di sini dari segi tekstur kuahnya.

“Kalau kita tengok Negeri Sembilan punya style‚ kuah dia lebih cair dan lebih kepada rasa pedas tapi di sini kita buatkan kuah itu lebih pekat dengan tambahan santan.

“Cara tersebut kita aplikasikan agar ia sesuai dimakan oleh semua peringkat lapisan umur. Jadi‚ untuk itu kita kurangkan sedikit rasa pedasnya‚” ujar beliau kepada Wilayahku.

Kongsinya lagi‚ mereka akan memasak daging salai tersebut di dalam bbq pit yang bertutup dan menggunakan kayu api daripada jenis kayu pokok getah kerana ia mudah didapati.

“Antara sebab lain menggunakan kayu getah adalah apabila dibakar‚ meskipun apinya tidak tahan lama tetapi asap yang dihasilkan itu berbau wangi dan akan melekat pada isi daging. Itu membuatkan rasa daging salai itu lebih sedap sebenarnya‚” ceritanya.

Tambahnya‚ resipi asal tersebut dikongsikan sendiri oleh pemilik Glow Glamping Putrajaya dan telah melalui beberapa proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama cef bertauliah.

“Sehingga kini masak lemak daging salai kita menerima maklum balas yang positif. Pelancong luar juga suka dengan masakan tersebut kerana menepati cita rasa mereka‚” katanya.

Berkongsi lanjut‚ Adam Hykal berkata mereka memperkenalkan set talam berkonsepkan lauk kampung seperti daging salai masak lemak memandangkan ia sukar didapati di sekitar Putrajaya.

“Kalau kita tengok di sini tak banyak kedai yang tawarkan lauk kampung jadi kami ambil kesempatan ini untuk ketengahkan konsep seperti itu bagi memberi pilihan buat pengunjung.

“Konsep set talam ini diambil berdasarkan menu bufet yang ditawarkan kepada mereka yang menginap di Glow Glamping Putrajaya namun kini kita buka restoran di dalam ini agar pengunjung luar juga boleh menikmati makanan di sini‚” ujarnya lagi.

Menurutnya terdapat beberapa penambahbaikan dari segi menu yang akan dilakukan namun semuanya masih dalam perancangan.

“Dari segi bahan mentah kita akan dapatkan di pasar borong dan yang pastinya kita akan cari daripada sumber yang halal dan bersih‚” katanya. – WILAYAHKU

Klik sini untuk tonton video

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas