BERITA gembira buat pencarum apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan tiga akaun baharu iaitu Akaun Persaraan yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1, untuk simpanan hari persaraan; Akaun Sejahtera yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 2 untuk keperluan kitaran hayat semasa persaraan dan yang terkini Akaun 3 atau Akaun Fleksibel.
Apa yang menjadi topik perbualan masyarakat semestinya kepada Akaun 3 yang memberikan fleksibiliti kepada pencarum untuk membuat pengeluaran pada bila-bila masa untuk keperluan kewangan jangka pendek.
Ternyata pengumuman tersebut memberi kelegaan kepada pencarum tidak terkecuali para selebriti yang tumpang gembira dan berharap masyarakat lebih memanfaatkan pengeluaran tersebut untuk perkara yang berfaedah.
Penyanyi dan pelakon popular, Dafi atau nama penuhnya Gadaffi Ismail Sabri,35, melihat pengeluaran ini sedikit sebanyak boleh membantu masyarakat dalam menampung kos kehidupan mereka.
“Akaun flesksibel ini sebenarnya banyak membantu masyarakat. Tak dinafikan, kelebihan yang diberikan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Jadi sedikit sebanyak boleh meringankan mereka.
“Bagi saya, setiap orang ada keinginan atau keperluan masing-masing untuk menggunakan wang tersebut. Kita tak boleh cakap, kena buat itu dan ini. Itu hak mereka.
“Saya yakin rakyat Malaysia bijak dalam berbelanja dan tahu apa yang diperlukan dalam kehidupan mereka.
“Iyalah, bukan senang untuk kita dapat peluang ini. Entah bila lagi dapat keluarkan. Semoga kelebihan ini memberi satu kegembiraan buat mereka,” katanya.
Manakala penyanyi lagu Biar Sampai Ke Bintang, Asmidar berpendapat kelonggaran untuk pengeluaran akaun 3 ini sebenarnya salah satu kemudahan yang telah diberikan kepada rakyat.
“Terpulang kepada individu itu bagaimana untuk memanfaatkan kemudahan ini sebaik-baiknya.
“Pada pendapat saya, wang KWSP ini ibarat jalan akhir yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Jika tidak, bimbang akan timbul penyesalan dan sekaligus boleh menjadikan individu itu terperangkap lagi dalam masalah lain.
“Namun jika digunakan untuk tujuan yang boleh menggandakan wang tersebut , misalnya meniaga. Saya rasa wang ini dapat membantu. Jadi ,fikirlah dulu sebelum buat apa-apa,” ujarnya. – WILAYAHKU