Berita

CUEPACS sokong syor PM tiada kenaikan pangkat ketua jabatan jika ada salah laku tadbir urus

- Diterbit 10 Jun 2024 5:00 PM MYT

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam dan Awam (CUEPACS) menyokokng syor Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menetapkan setiap ketua jabatan tidak akan diberi kenaikan pangkat sekiranya terdapat pelanggaran tadbir urus dan integriti yang tidak diambil tindakan sewajarnya.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata semua ketua jabatan seharusnya mengambil tanggungjawab yang sewajarnya dalam memastikan tidak berlaku salah tadbir urus terutama melibatkan penyelewangan dan rasuah dalam kalangan kakitangan di bawah seliaan masing-masing.

“Syor yang disarankan oleh Perdana Menteri meletakkan suatu tanggungjawab kebersamaan dalam setiap peringkat jawatan di sesebuah jabatan untuk memastikan tadbir urus dilaksanakan dengan baik dan berkesan tanpa pelanggaran integriti.

“Syor ini sekiranya dilaksanakan kelak akan melahirkan penjawat awam yang sentiasa cakna terhadap tanggungjawab dan amanah yang digalas terutama dalam memastikan jabatan yang diselia sentiasa melaksanakan urus tadbir yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihak CUEPACS berharap semua penjawat awam tidak kira pelbagai peringkat jawatan melihat langkah ini suatu perkara yang positif terutama dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa berada dalam tahap yang terbaik.

“Salah laku dalam perkhidmatan awam adalah suatu perkara yang amat kita tegah termasuklah menyembunyikan salah laku tersebut.

“Malah tidak wajar untuk pihak yang mempunyai kuasa menyembunyikan pelanggaran tadbir urus hanya semata-mata untuk menjaga nama baik sendiri atau individu tertentu. Perkara ini hanya akan memburukkan lagi keadaan dan tidak menyelesaikan permasalahan yang berlaku.

“Sebagai penjawat awam tidak kira peringkat jawatan harus mempunyai kesedaran untuk membanteras salah laku dengan apa jua tindakan termasuklah melaporkan perkara tersebut untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Adnan menegaskan, pembaharuan yang mahu dilaksanakan ini sebagai suatu usaha untuk mentransformasikan perkhidmatan awam ke arah yang lebih baik.

Terdahulu, ketika berucap pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Jun, Perdana Menteri mengesyorkan tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan jika wujud salah laku dan amalan rasuah penjawat awam di bawahnya sehingga tidak dilaporkan.

Perdana Menteri berkata, agak mustahil bagi ketua jabatan atau ketua unit ‘tidak tahu’ atau menutup mata mengenai wujudnya kecurangan dalam pentadbiran masing-masing. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas