SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap cubaan membunuh karakter atau ‘character assassination’ yang semakin berleluasa dengan niat untuk memberi persepsi negatif terhadap individu tertentu.
Titah baginda, lazimnya ‘character assassination’ hanya berlaku di musim pilihan raya, namun kini ia digunakan untuk memusnahkan kepercayaan dan seterusnya menjatuhkan individu terbabit.
“Beta ingin menasihatkan rakyat agar bijak menilai dan mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat prasangka dan percaya dengan fitnah-fitnah yang terhasil daripada cubaan untuk membunuh karakter ini.
“Sekiranya tidak dibendung, beta bimbang kelakuan seumpamanya boleh membawa kepada lebih banyak budaya hidup yang tidak baik dan menjejaskan keharmonian masyarakat,” titah baginda dalam perutusan Tahun Baharu 2025 pada Selasa.
Sultan Sharafuddin bertitah, sekiranya terdapat kritikan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, ia seharusnya disalurkan sebagai cadangan yang membina demi manfaat semua pihak.
Dalam perkembangan sama, baginda menasihatkan kepada semua pihak agar menghentikan pertelagahan, khususnya dalam kalangan pemimpin, komuniti perniagaan, penjawat awam yang tamakkan kuasa dan kemewahan.
“Beta sering perhatikan bahawa pertelagahan seumpama ini kerap menjadi punca kepada timbulnya fitnah-fitnah jahat dan adu domba serta penyebaran maklumat palsu khususnya di media sosial,” titah baginda.
Di tahun baharu ini juga, baginda mahu rakyat sama-sama berazam membanteras gejala rasuah di semua peringkat dengan meningkatkan penguatkuasaan dan yang paling penting, mengutamakan integriti dalam nilai-nilai kehidupan harian.
“Ingatlah, bahawa sebuah tamadun boleh runtuh hanya disebabkan oleh rasuah yang berleluasa dan tidak terkawal.
“Beta percaya untuk menjadi sebuah negara yang maju, rakyatnya haruslah saling hormat-menghormati, berfikiran positif dan bersatu padu. Jika masih kerap bertelagah, bukankah usaha-usaha untuk memajukan negara akan tergendala?
“Akibatnya, rakyat yang akan menanggung sengsara hanya kerana keangkuhan dan sifat pentingkan diri sendiri segelintir pihak,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin yakin sekiranya rakyat menggembleng usaha dan tenaga, mengukuhkan jati diri dan berazam untuk menyumbang sesuatu kepada kemajuan negara, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih maju dan disegani pada tahun 2025 nanti. – WILAYAHKU
[Iklan]