Berita

Cuba buka pintu kecemasan semasa penerbangan dari Malaysia, seorang warga Jordan ditahan

PINTU kecemasan dalam kapal Terbang - Gambar hiasan
- Diterbit 6 April 2025 6:45 PM MYT

SEORANG warga Jordan ditahan dan didakwa kerana membahayakan keselamatan penerbangan dari Malaysia ke Sydney dengan cubaan membuka dua pintu kecemasan pesawat, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Polis Persekutuan Australia.

Polis dalam kenyataan memaklumkan suspek berusia 46 tahun cuba membuka pintu kecemasan di bahagian belakang dan tengah pesawat semasa penerbangan.

“Lelaki itu kemudian diarah kakitangan syarikat penerbangan untuk duduk di bahagian tengah pesawat, namun dia sekali lagi cuba membuka pintu kecemasan di bahagian itu.

“Lelaki berkenaan kemudian dihalang oleh kru serta penumpang dan semasa itu dia didakwa menyerang seorang kakitangan syarikat penerbangan,” menurut kenyataan itu.

PINTU kecemasan dalam kapal Terbang – Gambar hiasan

Menurut polis, lelaki itu ditahan sejurus pesawat itu tiba di Lapangan Terbang Sydney dari Kuala Lumpur dan akan dihadapkan ke sebuah mahkamah tempatan atas dua pertuduhan membahayakan keselamatan pesawat dan satu pertuduhan menyerang kru kabin.

“Setiap kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas