KERAJAAN sentiasa bersedia dalam menghadapi situasi cuaca panas dan kering dimana ketika ini negara berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac 2025.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberitahu dalam tempoh tersebut, taburan hujan akan berkurangan di kebanyakan tempat terutamanya di kawasan Utara Semenanjung Malaysia yang boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding biasa.
“Walau bagaimanapun, kerajaan sentiasa bersedia dalam menghadapi situasi cuaca
panas dan kering. Melalui Mesyuarat JIJCKK Bil 1 Tahun 2025, terdapat beberapa
perkara yang telah dipersetujui antaranya kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri perlu mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan dan melaksanakan pemantauan secara berterusan di bawah bidang kuasa dan fungsi masing-masing bagi mengekang pembakaran terbuka, jerebu dan kejadian kebakaran berulang.
“Cuaca panas diramal tidak seteruk tahun 2024 disebabkan pengaruh La
Nina lemah yang menyebabkan cuaca sedikit lembap. Namun, jerebu tempatan masih
boleh berlaku sekiranya insiden pembakaran terbuka tidak dikawal.
“Negara juga akan berhadapan dengan Monsun Barat Daya yang membawa cuaca
yang panas dan kering sekitar bulan Mei hingga September tahun ini. Berdasarkan
ramalan MET Malaysia, akan berlaku pengurangan hujan antara 20 peratus (%) hingga 40%
berbanding keadaan biasa di Utara, Pantai Barat dan Timur Sabah pada bulan Mac
2025 dan di Barat Sarawak pada bulan April 2025. Negara dijangka akan menerima
taburan hujan pada paras normal pada bulan Julai dan Ogos 2025,” ujarnya.
Tambahnya, berdasarkan statistik aduan pembakaran terbuka daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tempoh 1 Januari hingga 24 Februari 2025, daripada 1,147 aduan,
pembakaran sampah-sarap merupakan aduan tertinggi yang diterima iaitu 619 kes.
“Susulan cuaca panas dan kering ketika ini, semua pihak diingatkan agar tidak
melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan tanah atau premis diceroboh oleh
pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.
“Tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab
menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah. Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pesalah boleh dikenakan
denda minimum RM25,000 hingga denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak
melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun juga boleh dikenakan tidak melebihi 50% denda maksimum bagi setiap kesalahan,” ujarnya. – WILAYAHKU