Berita

Cuaca di negeri Pantai Timur bertambah baik – MetMalaysia

- Diterbit 5 Januari 2021 2:58 AM MYT

KEADAAN cuaca di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia dijangka bertambah baik dengan dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan pada pagi semalam dikemas kini ke amaran cuaca waspada setakat pagi ini.

Dalam kenyataannya hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata  kawasan yang terlibat ialah seluruh Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang) dan Pahang (Cameron Highlands, Lipis dan Jerantut).

Amaran cuaca waspada turut dikeluarkan bagi Sabah di Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat.

“Dalam tempoh itu, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan Sabah, manakala kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung akan mengalami cuaca mendung dan hujan berikutan limpahan hujan dari pantai timur Semenanjung,” demikian menurut kenyataan itu.

Sementara itu, MetMalaysia turut meramalkan kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang hingga awal malam di Sabah dan Sarawak.

Keadaan itu, menurut MetMalaysia, berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

“Angin kencang timur laut berkelajuan hingga 60 km/jam dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan  Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dalam tempoh itu,” demikian menurut kenyataan itu.

Sementara  itu, di perairan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, angin kencang timur laut berkelajuan hingga 50 km/jam dengan ombak setinggi 3.5 meter dijangka boleh berlaku dalam tempoh tersebut, dijangka mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas