Berita

CPS pantau pembangunan KL, bantu wujudkan rangka kerja telus

MAIMUNAH (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Pengarah Eksekutif The Colombian Association of Capital Cities, Luz Maria Zapata dalam satu pertemuan di ibu negara pada Ahad
- Diterbit 6 Januari 2025 5:50 PM MYT

KUALA Lumpur menggunakan beberapa sistem dan mekanisme yang maju untuk memantau pembangunan bandar dan memastikan akauntabiliti menerusi penggunaan Sistem Perancangan Bandar (CPS) yang memainkan peranan penting dalam membantu pembangunan ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, sistem CPS yang merupakan platform digital bersepadu diuruskan oleh DBKL yang memusatkan data perancangan, menjejaki aktiviti pembangunan dan memastikan pematuhan terhadap peraturan zon dan penggunaan tanah.

“Ia menyediakan pemantauan dan penyelarasan masa nyata merentas jabatan, membuat perancangan proses lebih cekap dan telus.

“Selain itu, DBKL turut menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS) digunakan untuk memantau penggunaan tanah dan perubahan zon, manakala Pusat Sehenti (OSC) memperkemas pembangunan permohonan dan menjejaki kelulusan, memastikan ketelusan untuk semua pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dan sesi dialog bersama Pengarah Eksekutif The Colombian Association of Capital Cities, Luz Maria Zapata di ibu negara pada Ahad.

Maimunah berkata, sistem tersebut membantu DBKL mengenal pasti penyelewengan dan memastikan pembangunan sejajar dengannya.

Menurut Maimunah, DBKL menggunakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk mengukur kemajuan dalam bidang seperti perumahan, pengangkutan dan kawasan hijau.

“Semakan tetap Rancangan Tempatan secara lazimnya dilaksanakan setiap lima tahun dan kami pastikan rancangan itu dikemas kini dengan keperluan yang berubah-ubah.

“Selain itu, pemantauan alam sekitar, diuruskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan pematuhan terhadap Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan memastikan ia turut selari dengan piawaian kemampanan,” katanya.

Beliau berkata, akauntabiliti diperkukuh melalui pelaporan awam, di mana DBKL berkongsi kemas kini tentang pelaksanaan rancangan dan alatan seperti portal dalam talian dan talian penting membenarkan rakyat untuk melaporkan ketidakpatuhan.

“Audit bebas dan tindakan penguatkuasaan seterusnya memastikan pematuhan kepada pelan yang diluluskan. Sistem dan proses ini bergerak selari yang diketuai oleh CPS dan disokong oleh GIS dan OSC sekali gus mewujudkan rangka kerja yang telus dan bertanggungjawab untuk pembangunan bandar di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Datuk Bandar, beliau menyediakan 15 Program Perdana Kuala Lumpur dengan rangka kerja yang bersifat komprehensif untuk menangani cabaran pembangunan bandar di bandar moden.

“Kami memanfaatkan teknologi bandar pintar seperti Urban Digital Twin dan adalah penting untuk membuat perancangan bandar yang berkesan.

“Teknologi ini menggunakan data masa nyata, analitik dan kecerdasan buatan (AI) untuk mensimulasikan penyelesaian bandar, mengoptimumkan infrastruktur dan meningkatkan proses membuat keputusan,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan pembangunan hijau dan mampan mesti kekal menjadi keutamaan, dengan inisiatif seperti mengembangkan taman poket, menambah baik lorong dan menghubungkan ruang hijau untuk mewujudkan persekitaran bandar yang lebih sihat.

“Peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui di bangunan awam dan menuju ke arah bandar sifar sisa adalah penting untuk mengurangkan jejak karbon dan menggalakkan kehidupan mampan,” ujarnya.

Beliau berkata, DBKL menerapkan nilai inklusiviti dan kesejahteraan komuniti sebagai teras kepada usaha perancangan bandar raya.

“Program seperti K2K KL dan Perumahan MADANI menyediakan rumah mampu milik dan meningkatkan kemudahan di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan dapat memupuk kesaksamaan sosial dan kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Maimunah berkata, sebagai pihak berkuasa tempatan, DBKL melaksanakan dasar kerajaan dengan menterjemahkannya ke dalam rancangan bandar yang boleh dilaksanakan melalui rangka kerja seperti Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 dan Rancangan Tempatan Kuala Lumpur 2040.

“Pelan-pelan ini yang diwartakan, tertakluk kepada semakan setiap lima tahun. Ia bertujuan untuk menyepadukan objektif sosioekonomi dengan strategi spatial bagi memastikan pertumbuhan seimbang dan mampan, menangani bidang utama seperti perumahan, pengangkutan dan pembangunan infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata, perancangan spatial Kuala Lumpur mengikut hierarki dan mempunyai pendekatan yang tersusun bermula daripada arahan persekutuan seperti Rancangan Fizikal Negara, yang menyediakan rangka kerja menyeluruh untuk pembangunan bandar di seluruh negara.

“Ini kemudiannya diterjemahkan ke Pelan Struktur Kuala Lumpur, sebuah dokumen strategik yang menggariskan matlamat dan dasar jangka panjang pertumbuhan bandar yang memfokuskan pada kawasan seperti penggunaan tanah, pengangkutan dan kelestarian alam sekitar.

“Akhirnya, Rancangan Tempatan Kuala Lumpur mengoperasikan strategi ini dengan memperincikan secara khusus peraturan zon, peruntukan guna tanah dan garis panduan pembangunan di kawasan yang ditetapkan,” katanya. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas