Berita

COVID: MOTAC tumpu pelancongan perniagaan

- Diterbit 8 Februari 2021 9:50 AM MYT

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan memberi tumpuan kepada golongan pelancong bersasar meliputi pelancongan perniagaan dan aktiviti MICE (mesyuarat, insentif, persidangan serta pameran) dalam memastikan kelangsungan acara perniagaan.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB) akan memastikan pelancong perniagaan dan MICE telah melepasi tapisan kesihatan dan bebas COVID-19 serta pematuhan yang ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) MICE.

“Dalam memastikan kelangsungan acara perniagaan, keselamatan dan kesihatan rakyat adalah juga keutamaan MOTAC ketika negara sedang berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, SOP dan protokol pencegahan penyakit bagi pelancongan perniagaan terhadap pekerja, pembekal barangan dan perkhidmatan serta delegasi/ pengunjung mengenai pengawasan penyakit dan pencegahan penyebaran jangkitan adalah mengikut standard ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas