Berita

COVID-19: Penerima vaksin bersyukur tidak perlu ke PPV

PETUGAS barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Pejabat Kesihatan Daerah Lipis Doktor Zafrin Jamaludin membuat pendaftaran penduduk Kampung Kuala Kenong Kamarulzaman Mat Jalih, 82, (kanan) secara manual. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 16 Jun 2021 8:19 AM MYT

SEJAK awal lagi, pasangan suami isteri warga emas Kamarulzaman Mat Jalih dan Zariyah Awal sudah bersedia untuk menerima suntikan vaksin COVID-19, namun disebabkan kekangan tertentu, telah membataskan keupayaan mereka untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV) di klinik kesihatan terdekat.

Kamarulzaman, 82, yang menetap di Kampung Kuala Kenong di sini, mengakui rungsing setiap kali memikirkan mereka perlu menaiki bot untuk meredah Sungai Jelai untuk ke seberang sebelum boleh menumpang atau menyewa kereta, dalam keadaan dirinya dan isteri uzur.

“Tak takut langsung nak cucuk (disuntik)… dulu sudah dua kali juga mengambil vaksin sebab hendak ke Makkah. Lagipun memang tahu vaksin ini benda baik nak bantu kita supaya tidak sakit. Bahaya penyakit COVID-19 yang boleh bawa maut sudah banyak saya dengar di televisyen.

“Cuma, kami ini sudah tua dan sudah tidak kuat untuk berjalan jauh. Sebab itu, kami suka sangat bila mendengar yang doktor hendak datang ke sini untuk cucuk (suntik) walaupun di rumah ini hanya tinggal kami berdua,” katanya semasa ditemui di rumahnya di sini semalam.

Kamarulzaman dan Zariyah, 81, adalah antara 20 penerima suntikan dos pertama vaksin jenis Sinovac yang diberikan oleh unit vaksinasi bergerak Pejabat Kesihatan Daerah Lipis, melibatkan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam program anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Turut turun padang menyertai pasukan kesihatan meredah bot dan menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui ladang getah untuk ke rumah penerima dan surau Kampung Kenong yang dijadikan PPV ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Kamarulzaman berharap lebih ramai warga emas sepertinya menerima vaksin di rumah kerana faktor usia menyebabkan mereka dikategorikan dalam golongan berisiko tinggi, selain ‘menghidap pelbagai penyakit seiring dengan pertambahan umur.

“Saya sendiri sudah lama tidak keluar rumah kerana bimbang jika terkena penyakit itu (COVID-19). Jangan kata hendak ke rumah anak atau saudara mara, hendak ke bank mengambil duit juga tidak berani,” katanya.

Seorang lagi penduduk Tahirah Yunus, 60, berkata Sungai Jelai menjadi laluan utama penduduk memandangkan laluan darat perlu menggunakan kenderaan yang sesuai selain mengambil masa hampir sejam melalui jalan kampung dan ladang kelapa sawit sebelum tiba di jalan besar.

“Jalan ladang memang tidak elok, berbukit dan berbengkang-bengkok. Susah jika kami yang tua ini hendak memandu sejauh itu. Menaiki bot memang cepat, tapi terpaksa pula menyewa kereta di seberang.

“Hendak mengharapkan anak, mereka tidak boleh pulang kerana bekerja di Kuala Lumpur dan Sarawak. Saya dan suami sudah didaftarkan sebagai penerima vaksin di MySejahtera, namun tak sangka rezeki kami bila semalam, penghulu beritahu doktor akan ke sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk Nurul Huda Mohamed Ramly, 40, pula mengucapkan syukur melihat bapanya Mohamed Ramly Abas, 83, menerima suntikan itu memandangkan orang tuanya itu sebelum ini berkeras tidak mahu menerima vaksin.

Nurul Huda berkata selepas puas memujuk, akhirnya mereka sekeluarga mengalah dan hanya membawa emaknya, Romlah Zakaria, 67, menerima suntikan di PPV ditetapkan pada 10 Mei lepas.

“Semalam, tanpa diduga ayah beritahu hendak divaksin bila dia dengar cerita ada pasukan doktor hendak ke sini. Mungkin sebab ayah tengok emak sihat selepas suntikan itu menyebabkan dia akhirnya berubah fikiran,” katanya. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas