Corakkan bentuk komuniti bandar

Corakkan bentuk komuniti bandar

Oleh AZLAN ZAMBRY
azlanwilayahku@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dasar Komuniti Negara 2019 yang baru diwujudkan merupakan langkah yang tepat pada masanya dalam membantu mencorak komuniti-komuniti bandar di negara ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh berkata, langkah itu akan membantu penduduk memupuk sikap bertanggungjawab dan prihatin di tempat tinggal mereka serta menikmati kehidupan yang selesa, selamat dan bersih.

Beliau berkata, rakyat yang bekerjasama dan hidup bersatu-padu tanpa mengira kaum merupakan kunci utama kepada strategi sesebuah negara seperti Malaysia untuk terus mengorak langkah menjadi sebuah negara maju.

“Menerusi urbanisasi, 75.6 peratus daripada jumlah populasi negara ini memberi keutamaan untuk tinggal di bandar. Ini menjadikan usaha pembangunan dan pengukuhan komuniti di bandar-bandar sesuatu tidak boleh dielak, malah perlu diberi perhatian khusus oleh semua pihak.

“Komuniti bandar yang 30 peratus daripadanya menetap di perumahan berstrata merupakan golongan yang perlu diberi perhatian dalam usaha pengisian diri, keluarga serta orang lain di kawasan persekitaran agar mereka mempunyai pengetahuan serta kemahiran yang cukup,” katanya ketika berucap merasmikan Progrom Gotong-Royong Perdana 2019 di Dataran PPR Pudu Ulu di sini baru-baru ini.

Kata Shahruddin, objektif utama Dasar Komuniti Negara adalah untuk mendaya upayakan komuniti setempat supaya mereka boleh melibatkan diri secara aktif dalam pengurusan dan penyelenggaraan harta awam dan harta bersama yang merupakan sebahagian daripada tempat tinggal mereka.

“Kerajaan berharap dengan pelaksanaan dasar ini, ia dapat melahirkan komuniti yang menitikberatkan aspek kebersihan dan keselamatan serta membentuk komuniti yang mempunyai sense of ownership yang tinggi, di samping memupuk semangat kejiranan dan rasa hormat-menghormati antara satu sama lain demi kehidupan berkomuniti yang lebih harmoni.

“Kerajaan juga berharap agar perlaksanaan program sebegini dapat menyatupadukan penduduk dalam semangat kekeluargaan serta dapat melibatkan agensi-agensi dari luar untuk berkerjasama dengan komuniti di dalam pengisian program kemasyarakatan” katanya.

Terdahulu sebanyak 12 agensi terlibat dalam Program Gotong-Royong Perdana 2019 iaitu Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kuala Lumpur Football Association (KLFA), Alam Flora Sdn. Bhd., Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Kolej Polytech-Mara, My Love Cheras Care Services (Penyelaras PRUKasih Cheras), Surau Al-Muttaqin PPR Pudu Ulu, Joint Management Body (JMB) PPR Pudu Ulu dan Famiglia Matters Bikers Club.

CATEGORIES