KARNIVAL Sukan Komuniti Kampung memberi peluang kepada Adibah Suffiah,16, untuk mengenali lebih dekat permainan tradisi rakyat yang dipertandingkan.
Menurutnya kebanyakan permainan seperti catur, batu seremban dan congkak sukar ditemui dan jarang dimain oleh generasi muda terutamanya yang tinggal di bandar.
“Saya berasa sangat seronok dan gembira kerana dapat bermain aktiviti ini bersama adik. Biasanya kami akan bermain apabila pulang ke kampung sahaja.
“Nenek sering bercerita tentang keunikan permainan tradisi jadi apabila saya sendiri dapat bermain, barulah saya tahu seronoknya cara mereka terdahulu mengisi masa terluang.
“Kalau di sekolah memang ada permainan seperti ini tetapi ia lebih kepada sukan di luar dewan seperti sepak raga, galah panjang dan sebagainya.
“Saya lebih tertarik untuk bermain batu seremban, congkak dan dam aji kerana ia memerlukan strategi dan kreativiti yang tinggi. Diharapkan ia akan diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.
Menyokong perkara itu, Ain Nursakinah,13, berharap generasi muda mengambil peluang menyertai atau turun padang melihat bagaimana amalan dan corak tradisi masyarakat dahulu melalui permainan.
“Kalau dibiarkan permainan tradisi ini, ia akan dilupakan dalam kalangan masyarakat. Justeru itu, semua pihak perlu memainkan peranan sewajarnya untuk menggalakkan anak mereka untuk menyertai apa jua acara permainan tradisional yang dianjurkan,“ katanya. – WILAYAHKU