DALAM usaha memberi kesedaran kepada pelajar pasca sekolah menengah dan pra universiti untuk bersedia mendepani cabaran, Hub Of Curriculum & Instructional Technologies Development (CITeD Hub), Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) tampil menganjurkan Seminar Pendidikan Merentasi Masa Depan, khusus bagi mereka yang sedang menentukan hala tuju masing-masing.
Seminar yang diadakan di Auditorium Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UM itu turut mendapat kerjasama Pusat Jalinan Masyarakat UM dan Persatuan Kurikulum Malaysia.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, Profesor Dr Hasniza Zaman Huri berkata, seminar seperti ini amat penting, khususnya kepada pelajar yang sedang menuju ke peringkat pengajian di institusi pengajian tinggi dan juga yang sedang menentukan hala tuju pendidikan serta kerjaya mereka.
“Seminar ini amat bertepatan dengan keperluan semasa dengan memberi kesedaran kepada pelajar tentang cabaran pendidikan masa depan selain menanam sikap wawasan dan cita-cita tinggi dalam menentukan hala tuju mereka.

“Malah ia mempersiapkan pelajar untuk menghadapi temu duga permohonan biasiswa yang merupakan satu komponen penting dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan seminar berkenaan.
Yang turut hadir Dekan Fakulti Pendidikan UM, Profesor Dr Ahmad Zabidi Abdul Razak; Ketua Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Profesor Madya Ts Dr Siti Hajar Halili dan Pengerusi CITeD Hub, Fakulti Pendidikan merangkap Naib Pengerusi Persatuan Kurikulum Malaysia, Profesor Dr Norlidah Alias.
Hadir sama Pengarah Pusat Jalinan Masyarakat UM, Profesor Madya ChM Dr Noraini Ahmad serta Penceramah Syarahan Umum daripada Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan, Profesor Dr Zaharah Hussin.
Program berkenaan turut mendapat tajaan daripada APM Automotive Holdings Berhad dan Dua Ready to Wear.
Hasniza memberitahu, dunia pendidikan kini berkembang dengan pantas.
Perkembangan digital katanya, keperluan kemahiran baharu dan persaingan global menuntut generasi pelajar masa kini untuk lebih bersedia bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga sahsiah, kebolehan komunikasi, kepimpinan dan ketahanan diri.
“Seminar ini menyediakan platform yang sangat holistik, bukan sahaja memberi input melalui syarahan umum dan wacana pendidikan, tetapi turut membuka ruang kepada pelajar untuk mendengar secara langsung pengalaman dan panduan daripada pelbagai pihak atau agensi biasiswa yang ditawarkan di Malaysia.
“Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran seminar ini. Semoga ia menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasa pendidikan generasi muda negara,” katanya. – WILAYAHKU