Oleh AZLAN ZAMBRY
USAHA Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam mengkoordinasi operasi dan permit menara telekomunikasi melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara dengan sistem Pengurusan Permit Infrastruktur Komunikasi (CIPM) 2.0 akan lebih mudah dan berkesan selepas ia dinaik taraf dengan beberapa ciri penambahbaikan.
Ketua Bahagian Geospatial & Pengurusan Data MCMC, Ahmad Aswadi Yusof berkata CIPM 2.0 adalah sistem yang telah dinaik taraf dan diperkemaskan untuk memudahkan pengguna. Ia merupakan kesinambungan CIPM 1.0 yang mula digunakan sejak tahun 2016.

“Kita menggunakan teknologi baharu yang lebih cepat dan pantas serta sistem susun aturnya telah dikemas kini bersama dengan ciri-ciri grafik yang lebih menarik.
“Selain itu kita turut menambah pilihan bahasa dan pemilihan ikon yang lebih menarik serta didatangkan dengan aplikasi mudah alih menjadikan ia senang diakses di lapangan,” katanya kepada Wilayahku semasa Bengkel CIPM 2.0 di Putrajaya baru-baru ini.
Bengkel selama dua hari itu turut melibatkan PBT dari negeri Negeri Sembilan dan Terengganu.
Ahmad Aswadi berkata melalui ciri tambahan aplikasi mudah alih melalui telefon pintar, ia dapat membantu pengguna mendapatkan maklumat di hujung jari mengenai permit dan rekod sedia ada berkenaan pengurusan permit yang tertangguh, rekod pembayaran dan sebagainya.
Jelas beliau, sistem ini telah digunakan oleh 1,400 pengguna daripada 120 PBT seluruh negeri dan ia dapat membantu industri serta kerajaan sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan permit dalam industri ini.

Menurut Ketua Jabatan Pejabat Pengurusan Projek Jaringan Nadi Teknologi Sdn Bhd, Nur Atikah Mian, kelebihan paling besar untuk CIPM 2.0 adalah ia dilengkapi dengan platform mudah alih berbanding sistem CIPM 1.0, yang hanya tertera melalui laman sesawang dan portal sahaja serta hanya boleh diakses melalui komputer di pejabat.
“Melalui sistem baharu di CIPM 2.0, kita adakan platform mudah alih yang mana akan membantu PBT untuk menjalankan aktiviti pemutihan dengan membawa peranti mudah alih ke tapak untuk membuat pemeriksaan dan siasatan khususnya di tapak-tapak yang belum diberikan kebenaran atau permit mendirikan menara komunikasi,” katanya merangkap perunding CIPM 2.0 yang dilantik MCMC.
Menurut Atikah, perancangan masa hadapan pihaknya bersama MCMC adalah untuk mengembangkan manfaat menggunakan sistem CIPM 2.0 ini untuk PBT dan telco termasuk mewujudkan pasukan khas (task force) dalam menjalankan pemantuan menara komunikasi seluruh negara.
“Kalau ikutkan CIPM 2.0, kita hanya menguruskan pembaharuan permit, tetapi mereka minta adakan untuk task force yang turut melibatkan jabatan lain di PBT bagi tujuan kerja-kerja penguatkuasaan.
“Sekiranya mereka (task force) dapati ada menara komunikasi beroperasi secara haram, jadi mereka akan ajukan kepada jabatan penguatkuasaan di PBT masing-masing untuk mengguna pakai CIPM,” katanya.
Tambahnya, sebagai penyedia perkhidmatan serta berkongsi harapan dengan MCMC, beliau berharap sistem yang dibangunkan ini dapat membantu memudahkan lagi tugasan pegawai yang bertanggungjawab kerana sebelum ini pemantauan dilaksanakan secara manual.

Sementara itu, Jurutera Kawalan Bangunan, Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Mohd Khairul Asyraf Kamarudin berkata program ini merupakan pengenalan bagi sistem yang telah dinaik taraf daripada CIPM 1.0 sehingga CIPM 2.0 yang digunakan untuk menyelaras semua data-data menara komunikasi yang berada di seluruh negeri.
“Bengkel ini akan memberi lebih kefahaman, masing-masing pengguna PBT Terengganu akan lebih mahir menggunakan sistem itu sendiri supaya PBT dapat berkomunikasi dengan pihak telco dan juga MCMC bagi penyelarasan sistem pembaharuan permit di Terengganu.
“Bengkel ini turut memberi banyak kebaikan dalam operasi harian sistem telekomunikasi khususnya di Terengganu dan perlu diteruskan serta melibatkan lebih ramai pihak termasuk One Stop Agency (OSA) supaya setiap pihak berkepentingan dapat memahami dan berkongsi idea agar sistem telekomunikasi dapat lebih berkembang,” katanya.

Penolong Pegawai Senibina Jabatan Kawalan Bangunan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Wan Norasikim Wan Abu Bakar berkata sistem ini telah mula digunakan pada tahun 2018 iaitu CIPM 1.0 dan sekarang ia telah dinaik taraf kepada CIPM 2.0.
“Sistem baharu ini dilihat dapat memudahkan kami untuk melaksanakan semakan dan tugasan penguatkuasaan terhadap permit-permit menara komunikasi yang telah dikeluarkan oleh pihak jabatan sekali gus dapat memudahkan kami menjana pendapatan untuk MBS,” katanya.
Tambah beliau, bengkel seperti ini patut diteruskan serta diperluaskan kepada mana-mana PBT yang belum menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MCMC berkaitan bengkel ini kerana ia dapat membantu banyak perkara khususnya dalam tugasan penguatkuasaan, kutipan cukai dan koordinasi dengan semua pihak yang berkaitan.
Foto lain: