Biz

Choco Albab lancar Unicorn Strawberry Chocolate

|||||SAID Saiful Fazli yakin perniagaan coklat tidak bermusim dan akan terus mengeluarkan produk pada masa akan datang.
- Diterbit 15 Mei 2023 1:32 AM MYT

TERUS berkembang maju, pengeluar produk makanan snek dan manisan, syarikat Saudagar Asia Sdn. Bhd. (Saudagar Asia) yang terkenal dengan jenama Choco Albab kini melancarkan Unicorn Strawberry Chocolate

Menurut pengasasnya, Said Saiful Fazli, 37, Unicorn Strawberry Chocolate kini tertumpu kepada pasaran kanak-kanak kerana saiznya dalam bentuk mini tab bersaiz 85 gram yang dijual pada harga RM8.90 seunit.

Keyakinan beliau terhadap perniagaan coklat yang tidak bermusim adalah antara faktor pengeluaran produk ke-11 syarikatnya itu.

“Pelanggan boleh membeli tab ikut bilangan yang disukai atau membeli dalam saiz bilangan banyak dalam bentuk kombo.

“Ramai menyedari industri ini berisiko tetapi saya menganggapnya peluang untuk saya memulakan perniagaan kerana saya sendiri sangat suka makan coklat.

“Saya memilih coklat kerana ia bukan satu perniagaan bermusim dan ia merupakan produk makanan yang sentiasa evergreen sejak kita masih kecil lagi hinggalah pada zaman sekarang. Coklat juga diminati oleh semua orang dan pelbagai peringkat umur.

“Malah coklat lebih mudah dijual kepada pelanggan berbanding produk penjagaan kesihatan dan kosmetik yang mana ia memerlukan penerangan yang jelas kepada pelanggan tetapi akhirnya mereka enggan membeli,” katanya.

SAID Saiful Fazli melancarkan produk ke-11 keluaran syarikatnya, Unicorn Strawberry Chocolate

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharunya, Unicorn Strawberry Chocolate di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, katanya, produk keluaran Saudagar Asia dijual dalam tab besar pada harga RM17 dan ada juga mencecah kepada RM22 bergantung kepada varian premiumnya.

Said Saiful menerangkan, tawaran produk baharu itu adalah untuk memenuhi pertanyaan dan permintaan pelanggan yang mahu membeli produk dalam saiz kecil selain dipromosikan dengan gimik warna dan kartun serta sudu yang di dalamnya membuatkan si cilik berselera dan mudah menghabiskan makanan tersebut.

Unicorn Strawberry Chocolate yang dilimpahi dengan coklat premium strawberry, premium bijirin dan juga minyak sayur memiliki keunikannya bukan sahaja dapat memenuhi permintaan kanak-kanak tetapi juga golongan dewasa yang meminati coklat.

Tambah beliau, produk berkenaan dibangunkan melalui kajian dan pembangunan yang teliti selama tiga bulan oleh pasukannya bagi menghasilkan bahan makanan berkualiti, enak dan diterima oleh masyarakat.

SAID Saiful Fazli yakin perniagaan coklat tidak bermusim dan akan terus mengeluarkan produk pada masa akan datang.

Ditanya mengenai ketaksuban masyarakat terhadap amalan hidup sihat dengan hanya memilih makanan yang berkhasiat, Said Saiful berkata, tawaran dalam bentuk mini adalah salah satu usaha awal syarikat kearah memenuhi perubahan gaya hidup pelanggan.

“Coklat sentiasa disalah tafsir kerana ia menjurus kepada makanan tidak sihat kerana tahap gulanya yang tinggi. Bagaimanapun dengan mengambil coklat ia akan dapat membantu melegakan ketegangan dan tekanan hidup yang dialami masyarakat masa kini.

Said Saiful memberitahu, buat permulaan untuk produk terbaharu ini, syarikat mengunjurkan jualan sehingga 100,000 tab mini dan nilai sasaran tersebut mampu dicapainya memandangkan keyakinan pelanggan terhadap jenama Choco Albab dan komitmen yang tinggi daripada para pengedarnya.

Tambah beliau, sistem operasi perniagaannya baharu yang diubahnya untuk tidak membebankan pengedarnya daripada menyimpan stok dan membuat penghantaran kepada pelanggan telah berjaya, sehingga mampu meningkatkan pendapatan usahawan kecil di bawah bimbingan syarikat.

“Ramai pengedar saya terdiri daripada kaum wanita dan mereka berniaga secara separuh masa, kini mampu menjana pendapatan sehingga lima angka setiap bulan.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, usahawan ini berkata syarikat bakal memperkenalkan produk makanan baharu setiap sukuan pada tahun dan memerlukan masa selama tiga tahun sejak tahun 2021 untuk mengukuhkan cabang perniagaan tersebut.

“Kami memiliki misi dan perancangan yang besar untuk membangunkan empayar ini bukan sahaja menjual produk makanan berasaskan coklat tetapi juga melangkah dalam bidang jualan kosmetik, wangian dan lain-lain,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas